HAMPIR 2,000 stesen mengecas kenderaan elektrik (EV) akan dipasang di lebih 700 tempat letak kereta di estet perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menjelang akhir 2023. Ini sejajar dengan bilangan kenderaan elektrik yang semakin meningkat di Singapura. Stesen mengecas pertama yang dipasang hasil tender berskala besar dilancarkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Rabu. Ia dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran dan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor di tempat letak kereta HDB berdekatan Blok 80D Telok Blangah Towers Pavilion.

Terdapat tiga stesen pengecasan didapati di tempat kereta bertingkat di Blok 80D Telok Blangah Towers Pavilion di aras 3A yang dikendalikan oleh ChargEco, usaha sama oleh anak syarikat SMRT Strides Mobility, YTL PowerSeraya, Airetec dan Yes Energy Service dan lagi tiga di Blok 212A Boon Lay Place dikendalikan oleh Charge+. "Stesen pengecasan EV merupakan perkembangan penting untuk melancarkan penggunaan kenderaan elektrik di Singapura. Kami sedar bahawa salah satu kebimbangan ialah mengetahui di mana kami boleh mengecas kenderaan elektronik," kata Encik S Iswaran. "Kami membuat kemajuan untuk mencapai sekurang-kurangnya 12,000 stesen pengecasan menjelang 2025 demi membantu memenuhi keperluan pengecasan populasi EV Singapura yang semakin meningkat." ChargEco merupakan pengendali pengecasan EV terbaru di Singapura dan telah memasang stesen pengecasan pertamanya di Telok Blangah Towers Pavilion. "Stesen pengecas EV di tempat letak kereta Telok Blangah ini telah beroperasi selama dua minggu. Untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami, kami telah membina aplikasi mesra pengguna dan juga mengendalikan pusat panggilan 24/7," kongsi Pengurus Besar ChargEco, Encik Richard Chin. Tahun lepas, pendaftaran kereta elektrik membentuk 11.8 peratus daripada semua pendaftaran kereta baru dan Singapura kini mempunyai lebih daripada 6500 kereta elektrik berdaftar dan hampir 10,000 kenderaan elektrik yang termasuk kelas kenderaan lain.