Satu pameran seni visual antarabangsa, yang memaparkan sekitar 400 pelukis dan hampir 600 karya seni, akan diadakan di Tembusu Art Gallery, Tanjong Pagar Distripark, pada 8 hingga 14 September.
Ia dianjurkan pelukis mapan tanah air, Abu Jalal Sarimon, dan pelukis Johor, Norazlan Ahmad.
Bertajuk, ‘SPICY My Stories’, pameran itu dijangka menerima sekitar 200 tetamu pada hari pembukaan dan lebih 3,000 pengunjung sepanjang tempoh pameran.
Kerjasama Abu Jalal dan Norazlan merupakan satu gabungan simbolik.
Ia mencerminkan visi dan kemajuan yang dikongsi sama kededua Singapura dan Johor, sepertimana yang dipaparkan dalam hubungan ekonomi mereka menerusi daya usaha seperti zon ekonomi bebas.
“Dalam cara mereka sendiri, kededua pelukis ini membina satu jambatan kreatif – membawa bersama pelbagai bakat dari serata dunia dan menyatukan mereka atas nama seni dan hubungan manusia,” kata kenyataan pameran tersebut.
Antara pelukis yang dijangka menyertai pameran tersebut termasuk dari Australia, Canada, Cyprus, Perancis, India, Indonesia, Malaysia, Singapura, Sri Lanka, Britain, Filipina dan Vietnam.
Mengenai tajuk ‘SPICY My Stories’, kenyataan itu berkata ‘spicy’, yang bermakna pedas, diilhamkan daripada cili untuk memberikan gambaran tentang koleksi karya seni pameran yang berani, penuh perasaan dan penuh bertenaga.
Namun, secara tradisional, cili juga boleh dilihat sebagai penawar semula jadi.
Justeru, diharap pameran tersebut turut dapat mengutarakan wadah ‘penawar’ bagi pengunjung dan peserta dalam bentuk dialog, pertukaran budaya dan pemahaman mendalam tentang ehwal dunia.
Menjelaskan, Abu Jalal berkata:
“Pameran SPICY menggalakkan para seniman untuk lantang bersuara mengenai apa saja topik. Lebih pedas karyanya, lebih dinamik.
“Berani bersuara dan meluahkan perasaan melalui setiap warna yang dipalit, setiap garis yang dilakar dan setiap simbol yang dijadikan bahan visual mereka.
“Memberi suatu impak yang kuat, ia merangsang minda, mencetuskan pemikiran dan memberi kesedaran.”
Selain mengetengahkan pelbagai kumpulan pelukis – muda, pertengahan kerjaya dan mapan – pameran tersebut juga akan menganjurkan beberapa sesi bicara seni setiap hari bersama pengkarya seni seperti Ramli Nawee, Vivien Lee dan Kumiko Matsushima.
“Sekitar 400 seniman dengan karya hampir 600 keping dan dialog seni berlangsung setiap hari, pameran ini pasti membuka mata para peminat seni dan menambah segar industri seni halus di sini,” tambah Abu Jalal.
Pameran percuma itu dibuka dari 11 pagi hingga 7 malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg