
HAMPIR semua juruterbang dan kru kabin Singapore Airlines Group (SIA Group) kembali bertugas sedang syarikat penerbangan itu bersiap sedia meningkatkan keupayaannya dengan pemulihan dalam perjalanan udara.
Ketua eksekutif SIA, Encik Goh Choon Phong, berkata 92 peratus juruterbang dan 86 peratus kru kabin syarikat itu kini sudah kembali bertugas.
Beliau berkata demikian semasa satu sesi taklimat mengenai keputusan pertengahan tahun syarikat tersebut semalam.
Encik Goh berkata bilangan kru dan pesawat yang kini kembali berkhidmat adalah lebih tinggi berbanding keupayaan penumpang syarikat itu sekarang ini.
SIA Group kini beroperasi pada paras 37 peratus daripada keupayaannya sebelum pandemik Covid-19 dan ini dijangka meningkat ke paras 43 peratus bulan depan.
"Aturan sedemikian akan membolehkan kami bertindak pantas terhadap perubahan dalam pasaran dan sebarang peluang pendapatan yang mungkin timbul," ujar Encik Goh.
Langkah yang diumumkan SIA Group - yang merangkumi SIA dan Scoot - itu menyusuli permulaan yang baik dengan pemulihan dalam perjalanan udara, ekoran pengumuman Singapura melancarkan Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) dengan 16 negara.
Kebanyakan kru dikerahkan bagi sekurang-kurangnya satu penerbangan sebulan untuk mengekalkan pengetahuan terkini mengenai operasi.
Sebanyak 135 pesawat SIA dan Scoot, atau 79 peratus daripada pesawat milik syarikat penerbangan itu secara keseluruhan, kini sudah kembali beroperasi.
Encik Goh menambah bahawa semua kru kabin dan juruterbang SIA yang aktif sudah divaksinasi sepenuhnya terhadap Covid-19.
Kru dan juruterbang Scoot juga akan divaksinasi sepenuhnya menjelang Disember.
Sementara itu, kru kabin dan juruterbang yang belum kembali bertugas dikerahkan ke bahagian lain SIA Group atau diberi cuti tanpa gaji secara sukarela. Bakinya dikerahkan ke pertubuhan lain seperti hospital.
Bercakap tentang ramalan syarikat tersebut, Encik Goh berkata VTL yang dilancarkan Singapura sejak September telah mengembalikan perjalanan udara secara bermakna.
SIA Group akan mengendalikan penerbangan VTL dari 21 bandar di 14 negara yang mempunyai VTL dengan Singapura.
Encik Goh berkata penerbangan yang ditetapkan itu mendapat tempahan tujuh kali lebih tinggi sejak VTL yang pertama dengan Jerman dan Brunei diumumkan pada 19 Ogos.
Tambahnya, SIA Group menerima hampir 160,000 tempahan tiket VTL bagi tiga bulan akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg