KADAR kitaran semula domestik Singapura kekal pada 13 peratus tahun lalu - tidak berubah daripada perangkaan 2020, iaitu paras terendah dalam 10 tahun - meskipun sedang isi rumah menghasilkan lebih banyak sisa sedang kegiatan ekonomi disambung semula selepas tahun pertama pandemik Covid-19.
Perangkaan sisa dan kitaran semula tahunan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang dikeluarkan semalam menunjukkan isi rumah menjana 1.82 juta tan sisa pada tahun lalu, naik daripada 1.77 juta tan pada 2020.
Untuk kedua-dua tahun itu, hanya 13 peratus sisa domestik dikitar semula. Antara 2017 dengan 2019, kadar kitaran semula domestik adalah antara 17 peratus dengan 22 peratus.
Secara keseluruhannya, kadar kitaran semula Singapura naik daripada 52 peratus pada 2020 kepada 55 peratus tahun lalu.
Daripada sekitar 6.94 juta tan sisa pepejal yang dijana tahun lalu, 3.83 juta tan dikitar semula.
Dek lebih banyak kegiatan ekonomi dan sosial yang disambung semula tahun lalu, jumlah sisa yang dibuang tahun lalu adalah 10 peratus lebih tinggi berbanding 2020 manakala jumlah sisa yang dikitar semula adalah 26 peratus lebih tinggi.
Namun, berbanding tempoh sebelum pandemik pada 2019, jumlah sisa yang dikitar semula adalah 11 peratus lebih rendah pada tahun lalu manakala jumlah sisa yang dibuang pula 5 peratus lebih tinggi.
Kadar kitaran semula sisa plastik meningkat daripada 4 peratus pada 2020 kepada 6 peratus tahun lalu.
Sementara itu, kadar kitaran semula bagi sisa hortikultur pula meningkat daripada 80 peratus kepada 83 peratus manakala bagi sisa kayu pula naik daripada 64 peratus kepada 76 peratus.
Kadar kitaran semula bagi kertas/kadbod juga naik sedikit daripada 38 peratus pada 2020 kepada 39 peratus tahun lalu, namun ia kekal di bawah 44 peratus yang dicatatkan pada 2019.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg