Satu tinjauan seluruh negara mendapati hanya 15 peratus responden menyedari mengenai sasaran Singapura untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Bagaimanapun, hampir dua pertiga daripada mereka melahirkan minat yang kuat untuk menyumbang kepada usaha tersebut, apabila dimaklumkan mengenai matlamatnya.
Lebih separuh responden sudah pun mengambil beberapa tindakan mesra iklim, seperti menetapkan suhu penghawa dingin pada kadar minimum 25 darjah Celsius, dan mengurangkan penggunaan produk plastik sekali guna.
Namun, ramai keberatan mengubah tabiat yang memerlukan lebih banyak usaha, seperti mengurangkan makanan daging dan perjalanan udara, lapor The Straits Times.
Kajian itu dijalankan 2023 melibatkan sekitar 2,300 orang berusia 15 tahun ke atas bagi memahami sikap mereka terhadap sasaran sifar bersih Singapura, dan dasar berkaitannya, serta tindakan yang mereka ingin ambil untuk mencapai sasaran tersebut.
Ia dikendalikan oleh Institut bagi Pemahaman Awam mengenai Risiko (Ipur) Yayasan Daftar Lloyd di Universiti Nasional Singapura (NUS), Pusat Lee Kuan Yew bagi Bandar Inovatif di Universiti Teknologi dan Rekaan Singapura (SUTD), dan Unit Penyelidikan Sains Tingkah Laku dan Ekonomi Alam Sekitar di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).
Jumlah pelepasan karbon Singapura bagi 2021 ialah 53.7 juta tan, dengan sektor penyumbang utamanya adalah industri (44.4 peratus), kuasa (39.2 peratus) dan pengangkutan (14.2 peratus).
Ketua pegawai kemampanan pemerintah, Encik Lim Tuang Liang, berkata: “Setiap individu memainkan peranan penting dalam mendorong Singapura ke arah matlamat sifar bersih negara kita, dan ini melengkapi usaha pemerintah dan perniagaan.”
Hasil tinjauan tersebut, yang dikeluarkan pada 15 Mei, menunjukkan sekitar 65 peratus responden menyokong sasaran sifar bersih Singapura apabila diberi lebih banyak maklumat mengenainya.
Lagi 17 peratus responden berharap garis masa lebih mencabar untuk mencapai sasaran sifar bersih dapat dilaksanakan.
Responden juga ditanya sejauh mana mereka menyokong 12 dasar pemerintah, daripada pengangkutan hingga ke tenaga, yang membantu Singapura mencapai matlamat tersebut.
Sekitar 60 peratus daripada mereka menyokong kesemua 12 dasar itu.
Dasar paling popular yang disokong ialah menanam lebih banyak pokok, membina lebih banyak taman, meningkatkan penggunaan tenaga suria, dan meluaskan rangkaian MRT/LRT.
Dasar paling popular itu hanya melibatkan perbelanjaan pemerintah dan tidak menambahkan kos bagi isi rumah, ujar laporan itu.
Dasar lain kurang mendapat sokongan.
Contohnya, lebih 20 peratus responden tidak dapat memutuskan sama ada mereka menyokong langkah meniadakan kenderaan petrol atau diesel secara berperingkat, dan meningkatkan cukai karbon bagi perniagaan, walaupun lebih 60 peratus menyokong langkah tersebut.
Cukai karbon dinaikkan kepada $25 setiap tan pelepasan mulai 2024, daripada $5 setiap tan pelepasan sebelum ini.
Ia akan dinaikkan kepada $50 hingga $80 setiap tan pelepasan menjelang 2030.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg