Topic followed successfully
Go to BHkuHapuskan perasaan was-was ketika solat
Hapuskan perasaan was-was ketika solat
Hapuskan perasaan was-was ketika solat

SOALAN: Bapa saya sudah berusia 78 tahun dan mengalami penyakit nyanyuk peringkat awal.
Beliau sering kali lupa rakaat, tertib solat dan bacaan.
Saya sering juga terlupa rakaat apabila bersolat kerana kurang khusyuk dan pelbagai gangguan, juga was-was ketika niat solat sewaktu mengangkat takbir.
Oleh kerana ia kerap berlaku, adakah ia kerana kekhilafan saya dan sikap saya melayan perasaan gangguan. Bagaimana untuk saya lebih khusyuk?
JAWAPAN OLEH USTAZAH AZEEMAH MUSTAFA
Lupa merupakan fitrah manusia. Terlupa sesuatu yang alami. Setiap kita terlupa ucapkanlah 'Astaghfirullahal Azim'. Semoga Allah mengampuni kelalaian kita.
Sebuah hadis yang masyhur meriwayatkan:
"Sesungguhnya Allah memaafkan umatku kerana (apa yang mereka lakukan) tanpa ada kesengajaan, lupa dan apa yang mereka dipaksa untuk melakukannya." (Hadis Hasan riwayat Ibnu Majah dan Al Baihaqi)
Jelas, kelalaian yang tidak disengajakan akibat sikap pelupa tidak dihitung dosa oleh Allah swt. Begitulah rahmah Allah swt kepada umat Muhammad saw.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, keterlupaan dalam solat seperti terlupa rakaat, tertib solat dan bacaan pula memerlukan yang bersolat untuk mengerjakan sujud sahwi.
"Dan jika seseorang dari kalian ragu dalam solatnya maka dia harus meyakini mana yang benar, kemudian hendaklah ia sempurnakan, lalu salam kemudian sujud dua kali." (Hadis Bukhari, 386)
Hadis ini mengajarkan kita erti syak dan yakin dalam solat. Apabila kita yakin, maka kerjakanlah solat sepertimana keyakinan itu tetapi sekiranya ada keraguan, yakini mana yang benar lalu sujud sahwi.
Sebagai contoh, apabila ragu rakaat ketiga atau keempat, kemudian keyakinan lebih kepada rakaat ketiga, maka dilakukan rakaat ketiga sehingga akhir solat sebelum menutup tahiyat akhir dengan sujud sahwi.
Dalam hal ini, yang bertanya turut merasa was-was. Was-was di dalam al-Quran merupakan satu 'penyakit' yang harus dihindari seorang Muslim.
Cara menghindarinya ialah dengan membaca surah Al Falaq dan An Nas tanpa ada basmallah diantaranya sebelum memulakan solat.
Satu lagi perkara yang dibangkitkan ialah rasa khusyuk dalam solat.
Rasa khusyuk merupakan suatu ikhtiar.
Mereka yang pernah merasa khusyuk mungkin tidak juga merasa khusyuk dalam tiap-tiap solat kecuali mereka berusaha mendapat khusyuk itu pada setiap solat. Khusyuk menuntut fokus dan disiplin yang tinggi.
Khusyuk roh merupakan intipati ibadah solat. Adapun hukum khusyuk menurut jumhur ulama; ialah mustahab yang teramat digalakkan sedangkan segelintir ulama mewajibkannya.
Beberapa tip mudah untuk mencapai khusyuk dalam solat boleh diamalkan seperti berikut:
- Belajar memahami makna yang dibaca dalam solat. Pepatah Arab berbunyi, "Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya."
- Fokus Ingatan hanya pada Allah swt. Cari tempat dan pakaian yang selesa serta hindari dari segala gangguan yang boleh menggugat fokus anda.
- Tiga serangkai - Rasa Mengharap, Rasa Takut, Rasa Malu Pada Allah swt. Apabila timbul rasa-rasa ini, lebih mudah untuk memberikan tumpuan ketika solat. Rasa takut dan malu yang kuat dapat mengalirkan air mata keinsafan sementara rasa mengharap membuat hati menjadi sayu sehingga membuat diri terasa kerdil di hadapan Allah swt.
Perasaan-perasaan ini membantu meningkatkan kekhusyukan dan rasa rendah diri saat menghadap Allah swt. Akhir sekali, ada bezanya antara solat yang khusyuk dengan solat yang sah.
Solat yang khusyuk sudah semestinya sah tetapi solat yang sah belum tentu khusyuk. Rebutlah sebanyak-banyaknya peluang mendapat solat yang khusyuk kerana solat yang khusyuk berjaya mendidik hati, akal dan nafsu manusia.

