Anak-anaknya sudah besar, tetapi apabila mereka bermain di taman permainan, Cik Nurul Zayani Rosman masih perlu menemani mereka.
Ini kerana anaknya, Nur Anisah Daaniys,12 tahun, dan Muhammad Nabil Aydin, sembilan tahun, mengalami distrofi retina dan tidak dapat melihat sejak lahir kecuali cahaya terang seperti lampu atau matahari.
Nabil juga disahkan mengalami autisme ketika berumur tiga tahun dan tidak bercakap kecuali menyanyi dan mengaji. Ini menimbulkan cabaran tambahan kerana jika Nabil mahukan sesuatu, dia hanya boleh menunjukkan keinginan melalui tindakan yang perlu ditafsir oleh ibu bapanya.
“Bila kami keluar, kami tengok kanak-kanak biasa boleh berjalan sendiri. Untuk Anisah dan Nabil, mereka perlu bersama kami. Kami akan memimpin tangan mereka. Kalau ke taman permainan, kami perlu menyokong mereka dari belakang. Untuk Nabil juga, dia tak boleh bising sangat nanti dia akan sembunyikan diri,” kata Cik Nurul, 38 tahun.
“Jadi perbezaannya adalah dari segi kemampuan berdikari. Kami perlu ada bersama mereka pada setiap masa, dan perlu banyak penjelasan kerana mereka tidak boleh melihat,” tambah ibu dua anak itu.
Cik Nurul berkongsi bahawa perjalanan beliau sebagai seorang ibu kepada dua anak istimewa tidak mudah.
“Pada mulanya kami amat terperanjat dan sedih, kami tidak sangka bahawa perkara ini terjadi kepada kami. Namun, selepas itu kami belajar menerimanya,” kata Cik Nurul.
“Kami tidak mempunyai pengalaman menjaga individu kurang daya penglihatan apabila dikurniakan Anisah jadi kami perlu mencari kumpulan sokongan,” tambahnya.
Sokongan ini tiba melalui Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH). Mereka bertemu dengan ibu bapa yang mengalami perkara yang serupa dan mempelajari daripada mereka.
“Apabila kami melihat ibu bapa lain yang anak mereka sudah dewasa, ia membuat kami sedar bahawa walaupun mereka kurang daya penglihatan, mereka tetap boleh berjaya dalam kehidupan jika berani,” kata Cik Nurul.
Dengan adanya kumpulan sokongan ini, Cik Nurul juga berkata beliau dan suami tidak rasa kesunyian dalam usaha menjaga anak mereka.
Sokongan daripada keluarganya juga memainkan peranan penting dalam membesarkan anak-anaknya.
Cik Nurul bekerja sebagai pakar kejuruteraan di Seagate Technology dan suaminya, Encik Muhammad Sufian Daud, 40 tahun, sedang mengikuti kursus untuk menjadi ejen hartanah.
Justeru, mereka perlu bergantung kepada ibu bapa untuk bantu menjaga Anisah dan Nabil.
“Anisah memang kawan baik dengan atuknya, selalu dibawa ke kedai kopi dan jalan-jalan,” kata Cik Nurul.
Selain itu, kerana mereka sedar bahawa orang tua mereka juga semakin berusia, Cik Nurul dan suami telah mendapatkan seorang pembantu rumah untuk meringankan tugas menjaga rumah dan anak-anak.
Cik Nurul berkata pengalaman menjaga anaknya juga telah membawa dirinya lebih dekat kepada Allah swt.
“Cara pemikiran saya adalah bahawa Allah swt tidak akan membebankan kita dengan apa yang kita tidak mampu atasi,” ujarnya.
Kasih sayang Cik Nurul terhadap anak-anaknya jelas dilihat semasa ditanya tentang kebanggaan beliau tentang anak-anaknya.
“Alhamdullilah, Anisah cemerlang dalam pelajarannya dan telah memenangi Anugerah Pelajar Teladan Lee Kuan Yew (LKY-ESA) pada 2023,” kata Cik Nurul sambil memegang tangan anaknya.
“Selain itu, Anisah juga mempunyai bakat menyanyi dan kini mempunyai sijil tahap lima dalam menyanyi,” tambah beliau dengan bangga.
Anisah tidak dapat menahan rasa bahagia mendengar pujian ibunya dan tersenyum lebar.
Wartawan Berita Minggu (BM) juga dapat memahami kebanggaan yang dirasai ibu bapa Anisah apabila mereka dapat peluang untuk mendengar Anisah bernyanyi secara langsung selepas ditemu duga.
“Bagi Nabil pula, setiap perkara kecil yang beliau boleh lakukan dengan sendiri saya sudah bangga,” kata Cik Nurul.
“Kami beritahu satu sama lain bahawa anak kami ini anak istimewa, anak syurga. Tidak semua diberkati, diberi peluang untuk menjaga Anisah and Nabil. Walaupun ia mencabar, kami terimanya dan reda,” kongsi Cik Nurul.
Kasih sayang dan pengorbanan Cik Nurul sudah tentu dapat dirasakan oleh anak-anaknya walaupun mereka masih kecil dengan Anisah penuh dengan kata-kata penghargaan buat ibunya.
“Ibu saya merupakan ibu terbaik di dunia dan yang paling penyayang,” kata Anisah dengan bangga.
“
Perbezaannya adalah dari segi kemampuan berdikari. Kami perlu ada bersama mereka pada setiap masa, dan perlu banyak penjelasan kerana mereka tidak boleh melihat...Kami beritahu satu sama lain bahawa anak kami ini anak istimewa, anak syurga. Tidak semua diberkati, diberi peluang untuk menjaga Anisah and Nabil. Walaupun ia mencabar, kami terimanya dan reda.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg