HARGA flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Greater Southern Waterfront (GSW) dijangka lebih tinggi, namun para penganalisis hartanah menjangka ia akan menarik permintaan besar apabila projek BTO yang pertama dilancarkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ini walaupun projek yang dinanti-nantikan itu mungkin diletakkan di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) diumumkan tahun lalu, yang mengenakan syarat membeli dan menjual lebih ketat.

Ini seperti tempoh penginapan minimum (MOP) 10 tahun dan subsidi tambahan ditarik balik oleh pemerintah sekiranya mereka menjual unit tersebut.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan sekitar 6,000 unit flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan dibina di tapak Keppel Club, yang kini sebuah padang golf, dengan projek BTO yang pertama akan dilancar dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Perumahan di tapak Keppel Club itu akan menawarkan kehidupan persisiran unik yang berhampiran alam semula jadi, termasuk Hutan Simpanan Labrador dan Southern Ridges.

HDB kelmarin berkata model PLH akan digunakan bagi projek perumahan awam terpilih di lokasi utama dan pusat, seperti pusat bandar dan kawasan sekitarnya, termasuk GSW.

Pengarah kanan (penyelidikan) Huttons Asia, Encik Lee Sze Teck, berkata flat tiga bilik mungkin berharga antara $400,000 dengan $450,000 manakala flat empat bilik pula mungkin berharga antara $720,000 dengan $850,000 apabila projek BTO di tapak Keppel Club itu dilancarkan dalam tiga tahun.

Beliau menambah bahawa terdapat kemungkinan flat tersebut ditawarkan di bawah model PLH untuk memastikan ia boleh dimampui dan diakses oleh lebih ramai pembeli.

Dengan adanya subsidi PLH, beliau berkata harga flat empat bilik mungkin antara $650,000 dengan $760,000 manakala flat tiga bilik pula antara $360,000 dengan $405,000.

Encik Lee berkata beliau menjangka flat BTO di kawasan itu mempunyai permintaan berlebihan yang tinggi, dengan lebih 10 pemohon bagi setiap unit yang ditawarkan.

"Tidak ada banyak flat awam yang menawarkan kehidupan persisiran yang unik dan berdekatan alam semula jadi.

"Dengan memperuntukkan sebahagian besarnya bagi perumahan awam, ia memastikan lebih ramai orang dapat tinggal di lokasi utama dan bukan hanya mereka yang berada saja.

"Lokasinya juga berhampiran tempat kerja utama seperti pusat bandar, Mapletree Business City dan one-north, yang menawarkan penduduk peluang tinggal lebih dekat dengan tempat kerja," kata beliau, sambil menambah terdapat stesen MRT Taman Labrador dan Telok Blangah yang berdekatan juga.

Ketua penyelidikan dan kandungan PropNex Realty, Cik Wong Siew Ying, pula berkata, disebabkan ciri-ciri tapaknya yang menarik, flat yang akan dibina di tapak Keppel Club itu boleh dianggap sebagai dalam kategori 'edisi terhad'.

Oleh itu, beliau berpendapat semua flat HDB yang ditawarkan harus berada di bawah model PLH kerana lokasinya yang sangat utama.

"Seperti yang ditunjukkan Pinnacle@Duxton, flat di lokasi utama sangat diingini dan boleh menarik harga tinggi - dengan banyak flat dijual semula dengan harga lebih $1 juta - di pasaran jualan semula.

"Untuk mengurangkan 'kesan loteri', kami rasa model PLH harus digunakan bagi semua projek BTO masa depan di GSW," kata beliau.

'Kesan loteri' bermakna meraih keuntungan besar apabila harga penjualan jauh lebih tinggi daripada apa yang dibayar pada mulanya.

Naib presiden kanan penyelidikan dan analitik di OrangeTee & Tie, Cik Christine Sun, pula berkata harga bagi flat baru di bawah model PLH mungkin lebih tinggi kerana perlu mengambil kira inflasi, terutama bagi projek yang dilancarkan dalam beberapa tahun lagi.

Namun, beliau menambah bahawa "sesetengah harga flat PLH mungkin lebih rendah sedikit daripada flat BTO kerana ia mengambil kira tempoh MOP lebih lama dan kriteria jualan yang lebih ketat".