Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga COE akan terus naik selagi permintaan kereta baru kekal kukuh: Pengamat

Nov 16, 2022 | 5:30 AM
PERMINTAAN BERTERUSAN: Pengamat berkata dengan bekalan COE yang rendah, harga akan terus meningkat jika permintaan bagi kereta baru kekal kukuh. - Foto ZAOBAO
PERMINTAAN BERTERUSAN: Pengamat berkata dengan bekalan COE yang rendah, harga akan terus meningkat jika permintaan bagi kereta baru kekal kukuh. - Foto ZAOBAO -

HARGA Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) tidak akan turun dalam masa terdekat selagi trend permintaan bagi memiliki kereta baru terus meningkat, kata pengamat dan pemain industri.

Mereka menambah bahawa adalah sukar untuk meramalkan permintaan, dengan perubahan dalam permintaan mungkin akan menyebabkan harga COE turun atau naik.

Minggu lalu, dilaporkan harga COE naik dalam semua kategori dalam tender terkini, dengan harga kategori Terbuka meningkat kepada paras tertinggi, mencapai $116,577.

Rekod harga baru juga dilihat dalam dua kategori lain - $115,388 bagi kereta lebih 1,600cc atau 130bhp dan kenderaan elektrik dengan lebih 110 kilowatt kuasa, dan $13,189 bagi motosikal.

Malah, harga COE motosikal kali ini dianggarkan hampir tiga kali lebih tinggi daripada kos sebuah motosikal berkuasa kecil.

Tender terkini itu merupakan yang pertama di bawah tempoh kuota baru dari November hingga Januari, yang menyaksikan bekalan COE susut 13.8 peratus berbanding tempoh tiga bulan sebelumnya dari Ogos hingga Oktober.

Pakar ekonomi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, menjelaskan bahawa dengan bekalan COE yang rendah harga akan terus meningkat jika permintaan bagi kereta kekal berdaya tahan.

"Dengan bekalan rendah, jika permintaan kekal berdaya tahan, maka harga akan menjadi tinggi, dan terdapat permintaan kukuh untuk kereta, walaupun kos pembiayaan kini lebih tinggi dan aspek ekonomi kelihatan tidak menentu," kata beliau.

Sementara aspek bekalan dalam pasaran COE boleh diramalkan, aspek permintaan pula sukar dijangkakan dan perubahan dalam permintaan boleh menyebabkan harga naik atau turun, tambah beliau.

"... kereta adalah barang tahan lama yang mahal, dan permintaan boleh berubah berdasarkan keadaan ekonomi.

"Faktor serupa yang menyebabkan turun naik harga aset yang cepat dalam pasaran lain (seperti jam tangan mewah; hartanah privet) juga boleh menjejas kesanggupan membayar untuk kereta, walaupun perbezaannya adalah tiada siapa yang benar-benar menganggap kereta sebagai aset yang nilainya akan meningkat," kata beliau.

Dr Theseira menambah satu lagi faktor adalah sama ada pengangkutan awam bertambah baik dan mengurangkan permintaan bagi pemilikan kereta, dan sama ada inovasi pengangkutan privet seperti perkongsian kereta mengurangkan permintaan bagi pemilikan kereta.

Penganalisis pengangkutan Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Penolong Profesor Dr Terence Fan, pula berkata sedang harga terus meningkat dalam pelbagai kategori lain selain premium COE, "kita akan mencapai tahap di mana bakal pembeli kenderaan akan menilai dan mengubah corak penggunaan atau perjalanan mereka".

"Pada ketika itu, premium COE harus berhenti meningkat dan mungkin turun," kata beliau.

Pemilik syarikat kereta Mohamed Taifoor Motoring (MTM), Encik Mohamed Taifoor Mohamed, berkata harga COE yang tinggi boleh terus dijangkakan dalam beberapa tahun mendatang kerana kuota COE yang diperuntuk kian berkurangan sedang pemerintah mengekalkan kadar pertumbuhan sifar bagi kenderaan Singapura hingga 31 Januari 2025.

Ini di samping permintaan bagi pemilikan kereta yang berterusan, termasuk daripada ekspatriat bergaji besar di sini dan rakyat Singapura secara amnya, tambah beliau.

Namun, Encik Mohamed Taifoor menjangkakan harga COE mungkin turun sedikit pada suku pertama tahun depan disebabkan inflasi dan keadaan ekonomi semasa, dengan orang ramai berkemungkinan memikirkan semula perbelanjaan mereka.

"Ada kemungkinan harga COE turun sedikit pada awal tahun depan, kerana kita lihat bagaimana banyak syarikat dan perniagaan kini terjejas dengan keadaan ekonomi, dan pekerja juga mungkin akan terjejas," kata beliau.

Berkongsi pendapatnya, pengasas syarikat kereta Gynacarlogist, Encik Farehan Hussein, pula berkata harga COE terus meningkat kerana terdapat permintaan tinggi bagi kereta sewa privet (PHV), dengan syarikat kenderaan yang menyewakan kereta bagi perkhidmatan sedemikian membeli semua kereta baru.

"Contohnya, bulan ini, terdapat hanya sekitar 400 kuota, dan jika terdapat 500 syarikat yang membida bagi kuota, ia tentu akan menaikkan harga COE," kata beliau.

Premium COE yang tinggi itu menjejas rancangan sesetengah individu untuk memiliki kereta atau motosikal idaman, dengan ada yang beralih ke pilihan lain untuk mendapatkan kenderaan, seperti menyewa kereta untuk jangka panjang.

Encik Farehan berkata syarikatnya telah menyaksikan kenaikan 60 peratus dalam permintaan untuk menyewa kereta dalam tempoh enam bulan lalu.

Syarikat yang menyediakan khidmat kereta sewa , Carzuno, pula telah menyaksikan pertumbuhan konsisten dalam permintaan bagi kereta sewa di Singapura sepanjang tahun lalu.

Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Carzuno, Encik Amrt Sagar, berkata ini antaranya disebabkan kos memiliki kereta telah meningkat dengan ketara dan oleh itu, ramai pelanggan mereka mendapati langkah menyewa kereta adalah satu huraian lebih berkesan dalam jangka masa 12 hingga 24 bulan.

"Semakin ramai pengguna mengambil pendekatan tunggu dan lihat dahulu, dan oleh itu, menyewa kereta pilihan terbaik untuk mereka kerana ia memberikan mereka fleksibiliti untuk menukar dan mempertimbangkan pemilikan kereta sekiranya harga COE turun pada masa hadapan," kata beliau.

"Dengan bekalan rendah, jika permintaan kekal berdaya tahan, maka harga akan menjadi tinggi, dan terdapat permintaan kukuh untuk kereta, walaupun kos pembiayaan kini lebih tinggi dan aspek ekonomi kelihatan tidak menentu." - Pakar ekonomi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira.

"Ada kemungkinan harga COE turun sedikit pada awal tahun depan, kerana kita lihat bagaimana banyak syarikat dan perniagaan kini terjejas dengan keadaan ekonomi, dan pekerja juga mungkin akan terjejas." - Pemilik syarikat kereta Mohamed Taifoor Motoring (MTM), Encik Mohamed Taifoor Mohamed.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg