Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ditutup bercampur-campur pada 17 Julai, dengan harga bagi kereta lebih kecil terus meningkat buat tender ketiga berturut-turut.
Pada harga $91,899, harga untuk COE Kategori A – untuk kereta lebih kecil, berkuasa rendah dan kenderaan elektrik (EV) – adalah 1 peratus lebih tinggi berbanding $91,001 yang didaftar dalam tender sebelumnya pada 3 Julai.
COE Kategori B – bagi kereta lebih besar, berkuasa tinggi dan EV – turun 0.9 peratus kepada $100,000 berbanding $100,901 dalam tender sebelumnya.
Ini bermakna perbezaan harga bagi Kategori A dan B adalah $8,101 – lebih kecil berbanding $9,900 dua minggu lalu.
Harga COE bagi kategori terbuka (Kategori E), yang boleh digunakan untuk mendaftar pelbagai jenis kenderaan kecuali motosikal, ditutup pada harga $100,341 atau 0.5 peratus lebih rendah berbanding $100,889 sebelum ini.
Sijil ini biasanya digunakan untuk mendaftar kereta lebih besar, berkuasa tinggi.
Pada harga $9,089, harga COE motosikal (Kategori D) naik 2.1 peratus dari $8,900.
Untuk kenderaan komersial (Kategori C), harga COE ditutup pada $70,601 atau 0.9 peratus lebih tinggi berbanding harga sebelumnya iaitu $70,001.
COE memberi hak kepada penduduk memiliki dan menggunakan kenderaan di Singapura.
Ini merupakan pusingan tender terakhir di bawah tempoh kuota COE kini dari Mei hingga Julai.
Pihak berkuasa dijangka mengumumkan bilangan COE yang tersedia bagi tiga bulan akan datang sebelum tender seterusnya yang dibuka pada 5 Ogos.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg