Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) naik sedikit dalam tender pada 21 Oktober. Harga Kategori A, untuk kereta lebih kecil dan kurang berkuasa serta kenderaan elektrik (EV), naik 1.5 peratus daripada $130,001 kepada $132,004.

Harga Kategori B, yang digunakan untuk mendaftar kereta dan EV yang lebih besar dan berkuasa, naik 1.4 peratus daripada $130,100 kepada $131,901.

Kenaikan premium bagi kedua-dua kategori dalam pembidaan terbaharu itu ialah yang pertama selepas pihak berkuasa mengumumkan semakan sistem COE. Ia berlaku selepas harga merosot dalam dua pusingan lepas.

Pada 8 Oktober, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata ia mahu mendapatkan maklum balas orang ramai tentang cadangannya untuk menyemak sistem COE bagi kereta.

Antara perubahan yang dicadangkan ialah menggabungkan Kategori A dan B menjadi satu kategori kereta penumpang.

Harga yang dibayar oleh pembida yang berjaya akan berdasarkan kos kereta. Kereta bernilai lebih tinggi akan dikenakan surcaj ke atas nilai COE, manakala kereta bernilai lebih rendah akan mendapat rebat.

Dalam pembidaan 21 Oktober, premium COE kategori terbuka atau Kategori E turun 0.9 peratus daripada $137,000 kepada $135,790. 

Sijil kategori terbuka boleh dipindah milik dan boleh digunakan untuk mendaftar mana-mana jenis kenderaan kecuali motosikal. Peniaga kenderaan selalunya mendapatkannya supaya boleh mendaftar kereta tanpa menunggu tender seterusnya.

Harga sijil kenderaan komersial atau Kategori C naik sedikit 0.3 peratus daripada $91,889 kepada $92,200. COE motosikal ditutup pada $10,778, iaitu 2.1 peratus lebih rendah daripada $11,012 dalam tender sebelumnya.

Pada awal 21 Oktober, peniaga kereta yang ditemui The Straits Times (ST) berkata jualan perlahan sejak dua minggu lepas.

Pengecualiannya ialah peniaga jenama EV China, yang berkata pembeli masih bergegas membuat komitmen sebelum insentif EV tamat pada 31 Disember. Pada 2027, rebat cukai bagi EV baharu akan dikurangkan sebanyak $10,000.

Selepas tender terbaharu ditutup, jurucakap LTA berkata: “Harga COE kekal tinggi dalam kebanyakan kategori dalam pembidaan terbaharu.

“Kami perhatikan akan ada pameran kereta tidak lama lagi yang mungkin mendorong permintaan dan harga COE yang tinggi dalam tempoh ini. Kami menggesa pembeli dan peniaga kereta supaya berhati-hati ketika membida COE.”

Expo Kereta (Car Expo), yang dianjurkan oleh SPH Media, akan diadakan di Singapore Expo dari 24 hingga 25 Oktober.

LTA turut menyentuh tentang semakan COE itu dan berkata ia akan “mempertimbangkan dengan teliti maklum balas yang diterima sebelum memutuskan sebarang perubahan kepada rangka kerja pengkategorian COE”.

Perundingan awam ditutup pada 2 November, 11.59 malam. Mereka yang ingin menyumbang maklum balas boleh berbuat demikian di https://go.gov.sg/coe-pcd-feedback.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti