
HARGA premium bagi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) jatuh bagi kebanyakan kategori pada tender terakhir untuk 2022 yang ditutup pada petang semalam, dengan hanya kereta saiz besar yang dicatat meningkat.
COE untuk kereta dengan enjin sehingga 1,600 cc dan 130 bhp, serta kenderaan elektrik (EV) dengan sehingga 110 kilowatt kuasa, berakhir pada $88,007, iaitu 0.6 peratus lebih rendah daripada $88,503 yang dicatatkan dua minggu lalu.
Dalam kategori bagi kereta lebih besar dan EV lebih berkuasa pula, harga premium meningkat daripada $105,501 kepada $108,006, kenaikan 2.4 peratus.
Antara lain, harga COE motosikal lebih rendah pada $11,690, penurunan sebanyak 3.4 peratus daripada $12,100 yang dicatatkan pada pusingan sebelumnya.
Harga premium COE kenderaan komersial turun 4.1 peratus, daripada $81,501 kepada $78,200, mencatatkan kejatuhan terbesar dalam kalangan kategori tersebut.
Bagi COE kategori terbuka, yang boleh digunakan untuk mendaftar sebarang jenis kenderaan selain motosikal, berakhir pada $109,600, iaitu 0.8 peratus lebih rendah daripada $110,524 dalam urusan tender sebelum ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg