Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) turun bagi semua kategori pada pelaksanaan tender terkini pada 23 Oktober.
Ini adalah kali pertama premium COE merosot secara menyeluruh sejak Jun.
Premium bagi sijil Kategori A, yang digunakan untuk mendaftarkan kereta lebih kecil, kurang berkuasa dan kenderaan elektrik (EV), ditutup pada $102,900, iaitu 0.9 peratus lebih rendah daripada $103,799 yang direkodkan dalam tender sebelumnya pada 9 Oktober.
Bagi COE Kategori B, untuk kereta dan EV lebih besar dan lebih berkuasa, premium turun 1.8 peratus kepada $113,890, daripada $116,002.
Harga COE kategori Terbuka (Kategori E) ialah $114,700, iaitu 1.1 peratus lebih rendah daripada premium sebelumnya setinggi $116,000.
Sijil bagi kategori itu boleh digunakan untuk mendaftarkan semua jenis kenderaan selain motosikal, tetapi hampir kerap digunakan untuk kereta lebih besar dan lebih berkuasa, lapor The Straits Times.
Premium COE kenderaan komersial (Kategori C) ialah $72,939, iaitu 2.8 peratus di bawah $75,009 yang dicatatkan dalam tender sebelumnya.
Premium COE motosikal (Kategori D) pula turun 4.1 peratus, daripada $10,001 dua minggu lalu kepada $9,589 dalam tender terkini.
Penurunan premium ini berlaku beberapa minggu selepas Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan pada 4 Oktober bahawa bilangan sijil yang tersedia untuk pembidaan antara November 2024 dengan Januari 2025 akan meningkat 3.6 peratus kepada 15,834, berbanding 15,283 dari Ogos hingga Oktober.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg