Harga elektrik di Singapura dijangka tidak terjejas dalam jangka pendek oleh langkah Indonesia memotong eksport gas asli, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng.

Sebaliknya, Singapura meneliti turun naik harga pasaran sejagat, memandangkan harga seunit gas biasanya terhubung kait dengan pergerakan beberapa indeks global utama, tambahnya.

Bercakap dengan media selepas acara Persidangan dan Anugerah Parti Tindakan Rakyat (PAP) 2026 di Ekspo Singapura pada 25 Oktober, Dr Tan berkata bekalan gas Singapura terikat dengan kontrak komersial yang seharusnya dipenuhi.

“Dalam jangka pendek, harga tidak banyak terjejas. Malah, kita sebenarnya perlu melihat kepada harga pasaran dunia, memandangkan harga seunit bagi sebahagian besar gas (di sini) tertambat pada pergerakan indeks-indeks utama global

“Kami menganggap tenaga sebagai satu aspek yang sangat kritikal bagi ekonomi negara, kemampanan, malah kelangsungan hidup secara keseluruhan… oleh itu, kami telah meletakkan langkah kontingensi dan perlindungan bagi memastikan (sumber) bekalan tenaga kita dipelbagaikan,” ujar beliau.

Indonesia mengumumkan ia telah memotong eksport gas asli ke Singapura sebanyak 31 bilion unit terma British sehari (BBTUD) bermula 24 Oktober.

Pada 24 Oktober, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) berkata pengurangan bekalan gas asli dari Indonesia membentuk kurang dua peratus daripada keseluruhan permintaan gas harian Singapura. Jumlah permintaan gas harian Singapura mencecah lebih 1,000 BBTUD.

Singapura bergantung pada gas asli untuk lebih kurang 95 peratus daripada keperluan elektrik.

Pada 2025, 40 peratus daripada bekalan tersebut diperoleh melalui saluran paip dari Malaysia dan Indonesiam, dengan selebihnya dibekalkan melalui laluan laut dari pasaran di seluruh dunia.

Sementara itu, Dr Tan berkata pengimport gas Singapura, Gas Supply Private Limited (GSPL), akan berunding dengan pihak pembekal bagi mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran kontrak berikutan pemotongan eksport.

Jika berlaku hal sedemikian, beliau berkata GSPL akan menuntut huraian komersial yang ditetapkan dalam kontrak. Namun, beliau tidak memberikan maklumat lanjut mengenai bentuk atau jenis huraian ini.

Berhubung tempoh masa yang diperlukan untuk mengetahui sama ada berlaku pelanggaran kontrak komersial, Dr Tan menyerahkan kepada syarikat itu untuk meneliti huraian tersedia dalam kontrak komersial yang dimeterai.

Beliau menambah Singapura mempunyai pelbagai lapisan pertahanan bagi menjamin keselamatan tenaga, termasuk mempelbagaikan sumber gas asli serta mewajibkan syarikat penjanaan tenaga untuk mengekalkan rizab diesel mencukupi sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang gangguan bekalan gas.

Dalam jangka sederhana, Singapura sedang membina terminal gas asli cecair (LNG) kedua dan mempelbagaikan campuran tenaganya, termasuk meneroka sumber tenaga alternatif seperti biometana dan tenaga geoterma, ujarnya.

“Oleh itu, saya ingin menggesa semua warga Singapura supaya bertenang dan teruskan (kehidupan) seperti biasa.

“Kita pernah menangani pengurangan (bekalan gas) sebegini dengan lancar sebelum ini tanpa sebarang insiden, dan pemerintah akan terus memastikan kebolehpercayaan serta daya tahan bekalan tenaga Singapura,” kata Dr Tan.

Mengenai pertimbangan bagi melanjutkan aturan kontrak gas asli bersama Indonesia selepas 2028 apabila kontrak itu tamat, beliau berkata sebarang pembaharuan kontrak dari negara jiran bergantung pada terma komersial.

Antaranya adalah tempoh kontrak, kebolehpercayaan kontrak yang dimeterai dan rekod prestasi dalam memenuhi setiap komitmen yang telah dipersetujui, jelasnya.

Pada 2022, Indonesia bersetuju untuk melanjutkan bekalan gas ke Singapura sehingga 2028, namun dengan jumlah bekalan lebih rendah berbanding kontrak sebelum ini.