Harga flat jual semula HDB naik 2.9% pada 2025, paling perlahan sejak 2019

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga flat jual semula HDB naik 2.9% pada 2025, paling perlahan sejak 2019

Pengamat: Bekalan flat BTO yang kukuh antara sebab harga lebih mendatar
Jan 2, 2026 | 1:59 PM

Harga flat jual semula HDB naik 2.9% pada 2025, paling perlahan sejak 2019

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), tidak berubah, BTO
Buat julung-julung kali sejak suku pertama 2020, harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kekal tidak berubah dalam tempoh tiga bulan terakhir 2025, kata HDB pada 2 Januari. - Foto fail

Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat sebanyak 2.9 peratus pada 2025, kenaikan paling perlahan sejak 2019.

Angka itu juga lebih rendah berbanding lonjakan 9.7 peratus yang dicatat sepanjang 2024.

Buat julung-julung kali sejak suku pertama 2020, harga flat jualan semula kekal tidak berubah dalam tempoh tiga bulan terakhir 2025, ujar HDB pada 2 Januari.

Sebelum ini, harga flat jualan semula terus meningkat setiap suku tahun sejak suku kedua 2020.

HDB memaklumkan, anggaran awal bagi suku keempat 2025 itu menyusuli empat suku berturut-turut yang menyaksikan pertumbuhan harga flat jualan semula semakin perlahan.

Pertumbuhan harga pada suku kedua, ketiga dan keempat 2025 berada di bawah 1 peratus.

Jumlah flat jualan semula yang dijual pada suku keempat 2025 turut menurun 18.8 peratus kepada anggaran 5,129 unit, berbanding 6,314 unit pada tempoh sama 2024.

Secara keseluruhan, 26,042 flat jualan semula bertukar tangan pada 2025 setakat 30 Disember – 9.8 peratus lebih rendah berbanding 28,876 unit pada 2024.

Kali terakhir jumlah transaksi jualan semula tahunan mencatat penurunan adalah pada 2023, susut 4.2 peratus berbanding 2022.

Kadar penurunan semasa itu lebih daripada dua kali ganda kadar penurunan pada 2023, kata HDB.

Menurut penganalisis hartanah, bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang kukuh adalah antara faktor yang menyumbang kepada trajektori harga jualan semula flat HDB yang lebih mendatar.

Ketua Pegawai Penyelidikan, portal hartanah Mogul.sg, Encik Nicholas Mak, berkata sebanyak 19,723 flat BTO ditawarkan pada 2025, sebagai sebahagian daripada 102,000 flat BTO yang dilancarkan dalam tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025.

Sebahagian projek BTO pada 2025 turut merangkumi flat Masa Tunggu Lebih Singkat (SWT), yang membolehkan pemohon menerima kunci flat baru mereka dalam tempoh kurang tiga tahun.

“Pembeli rumah yang perlu segera berpindah masuk ke flat HDB yang dibeli, lazimnya akan memilih flat jualan semula.

“Namun, memandangkan flat SWT juga dapat memenuhi keperluan perumahan sebahagian daripada pembeli yang terdesak ini, unit SWT berpotensi mengurangkan tekanan kenaikan harga dalam pasaran jualan semula HDB.

“Selain itu, sebilangan besar flat BTO yang dilancarkan pada 2025 mempunyai ciri lokasi menarik, seperti terletak di estet HDB popular di kawasan pinggir bandar, dan/atau berhampiran stesen MRT serta pusat bandar,” kata Encik Mak.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Analitik Data di Singapore Realtors Inc, Encik Mohan Sandrasegeran, memaklumkan apabila pilihan bekalan BTO berkembang, tekanan harga dalam pasaran jualan semula dapat dikawal dengan lebih baik.

Ia juga meningkatkan ketercapaian perumahan secara keseluruhan bagi para pembeli, jelasnya.

Melangkah ke 2026, pasaran jualan semula dijangka dipengaruhi oleh peningkatan bekalan yang ketara.

“Dianggarkan sebanyak 13,484 flat dijangka mencapai Tempoh Penginapan Minimum (MOP) pada 2026, hampir seganda berbanding jumlah pada 2025.

“Jumlah unit yang besar ini berkemungkinan akan memperkenalkan lebih banyak flat baru ke dalam pasaran jualan semula.

“(Ini) memberikan pembeli pelbagai pilihan dengan baki pajakan yang lebih panjang serta melegakan sebahagian daripada kekangan bekalan yang dilihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Encik Mohan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg