HARGA rumah awam jual semula telah naik buat bulan ke-23 secara berturut-turut pada Mei lalu, meskipun bilangan rumah telah dijual lebih berkurangan kali ini, menandakan bahawa permintaan bagi rumah jual semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kekal melebihi bekalannya.

Demikian menurut maklumat terkini daripada laman hartanah 99.co dan SRX disiarkan semalam, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Menurut maklumat tersebut, dua estet kejiranan belum matang, Pasir Ris dan Woodlands telah mencatatkan penjualan rumah jual semula HDB pertamanya yang bernilai sekurang-kurangnya sejuta dolar bulan lalu.

Sebuah flat eksekutif seluas 189 meter persegi di Woodlands Street 83 telah dijual pada harga $1.04 juta manakala sebuah rumah flat eksekutif seluas 189 meter persegi di Woodlands Street 81 dijual pada harga $1.03 juta.

Di Pasir Ris pula, sebuah rumah maisonet eksekutif di Street 13 telah diganti pemilik baru pada harga $1,138,888.

Hingga kini, flat HDB paling mahal dijual adalah pada harga $1.4 juta bulan lalu bagi sebuah flat lima-bilik seluas 113 meter persegi di Henderson Road yang mempunyai baki tempoh pajakan lagi 96 tahun.

Sejumlah 30 rumah jual semula HDB telah dijual pada harga sekurang-kurangnya $1 juta pada Mei lalu, naik daripada 22 dilaporkan pada April.

Maklumat daripada laman-laman tersebut menunjukkan jumlah rumah jual semula yang telah diganti pemiliknya bernilai $1 juta itu merangkumi 1.4 peratus bilangan rumah jual semula yang dijual Mei lalu.

Sehingga semalam, terdapat sekurang-kurangnya 145 flat HDB yang dijual pada harga sekurang-kurangnya $1 juta tahun ini.

Bulan lalu, harga flat jualan semula HDB naik 0.5 peratus, menandakan kadar kenaikan lebih lembab berbanding 1.1 peratus pada April.

Jika dibandingkan dengan Mei tahun lalu, harga rumah jual semula telah naik 11 peratus. Kenaikan harga itu turut dicatatkan bagi semua jenis flat di kedua-dua estet matang dan belum matang.

Namun, bilangan rumah HDB yang telah dijual bulan lalu turun 2,156 unit - iaitu satu kemerosotan 5.1 peratus - berbanding 2,273 unit pada April.

Beberapa pakar telah memberitahu ST, permintaan rumah mungkin telah beralih kepada projek Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang menarik pada Mei lalu, yang merangkumi tiga projek di kejiranan matang Queenstown, Bukit Merah dan Toa Payoh.

Pelancaran penjualan rumah bulan lalu juga menawarkan Penjualan Flat Baki (SBF) dengan tempoh menunggu lebih pendek kerana terdapat unit yang sudah selesai dibina manakala yang lain sudah berada dalam pelbagai tahap pembinaan masing-masing.

Cik Christine Sun, naib presiden kanan firma kajian dan analisis hartanah OrangeTee & Tie, berkata bahawa lebih banyak flat BTO - iaitu dalam 8,500 unit - telah dilancarkan pada enam bulan pertama tahun ini berbanding lima tahun sebelum ini dengan purata 7,000 unit.

"Memandangkan harga flat jualan semula HDB telah naik sejak dua tahun lalu, penduduk Singapura yang kesempitan wang mungkin merasakan bahawa mereka semakin tidak mampu membuat pembelian dalam pasaran jual semula kerana harga di banyak lokasi telah naik lebih daripada dua digit dan mencecah rekod harga tertinggi," katanya.