Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) susut sedikit pada suku ketiga 2026, meskipun lebih banyak unit dijual selepas tempoh menunggu yang dikenakan ke atas pemilik hartanah privet yang ingin beralih ke flat HDB dimansuhkan.

Data yang dikeluarkan HDB pada 23 Oktober menunjukkan harga flat jualan semula merosot sebanyak 0.1 peratus pada suku ketiga 2026.

Harga flat berkenaan turun sebanyak 0.1 peratus pada suku pertama – iaitu penurunan pertama dalam tempoh hampir tujuh tahun – diikuti dengan penurunan 0.3 peratus pada suku kedua.

Sebanyak 7,645 urus niaga dicatatkan pada suku ketiga, melonjak 19.5 peratus daripada 6,396 unit pada suku kedua.

Jumlah itu juga 5.9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2025 apabila 7,221 unit terjual.

HDB pada 23 Oktober berkata ia tidak melihat sebarang peningkatan ketara pada harga mahupun jumlah flat jualan semula yang dibeli oleh pemilik hartanah privet berikutan langkah pemansuhan tempoh menunggu 15 bulan itu pada 28 Julai.

Diperkenalkan pada September 2022, tempoh menunggu 15 bulan itu bertujuan mengawal permintaan daripada pemilik rumah privet yang memiliki lebih banyak wang tunai dan ingin membeli flat jualan semula HDB.

Apabila langkah berkenaan dilonggarkan, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata ia dilakukan kerana keadaan pasaran telah bertambah baik dan harga flat jualan semula HDB telah menyederhana secara ketara.

Sementara itu, harga pasaran rumah privet melonjak 1.4 peratus pada suku ketiga, berbanding 0.5 peratus pada suku sebelumnya.

Namun, jumlah keseluruhan urus niaga merosot sebanyak 16.3 peratus berbanding suku sebelumnya, turun daripada 6,148 unit kepada 5,146 unit.

Pemaju hartanah telah menjual keseluruhan 1,183 rumah privet (tidak termasuk kondominium eksekutif) pada suku ketiga, turun 44.7 peratus daripada 2,141 unit pada suku sebelumnya.

Urus niaga jualan semula bagi suku berkenaan turut menurun sedikit, dengan 3,801 unit dijual berbanding 3,813 unit pada suku sebelumnya.

Di serata kawasan di Singapura, harga hartanah bukan berhalaman naik 1 peratus pada suku ketiga, berbanding penurunan 0.1 peratus pada suku sebelumnya.

Harga di Kawasan Tengah Utama (CCR) meningkat 0.3 peratus, manakala harga di pinggir pusat bandar kekal tidak berubah, dan harga di kawasan luar pusat bandar pula naik 2.3 peratus.

Sementara itu, harga rumah berhalaman meningkat sebanyak 2.9 peratus.

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan berkata harga hartanah meningkat pada purata 0.9 peratus setiap suku tahun bagi tiga suku pertama 2026, hampir sama dengan purata peningkatan suku tahunan bagi tempoh sama pada 2025.

Menurut data HDB, flat paling mahal pada suku ketiga 2026 ialah flat eksekutif di Serangoon, yang mencatat harga median sebanyak $1.13 juta.

Flat kedua paling mahal ialah flat empat bilik di Queenstown, dengan harga median $1.065 juta berbanding $1.035 juta pada suku kedua.

Meskipun terdapat penurunan pada harga jualan semula, jumlah urus niaga flat berharga $1 juta dan ke atas meningkat kepada 596 pada suku ketiga 2026, berbanding 490 pada suku sebelumnya.

Secara keseluruhannya, sebanyak 1,497 flat bernilai $1 juta dan ke atas telah dijual dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026.