HARGA flat pasaran jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) terus meningkat, mencatatkan peningkatan bagi suku kesembilan berturut-turut.
Namun bilangan flat yang dijual semula merosot kerana lebih ramai pembeli enggan membayar harga lebih tinggi.
Pembeli juga berhati-hati berikutan tekanan inflasi dan kadar faedah yang telah meningkat.
Harga flat jualan semula meningkat pada kadar lebih pantas sebanyak 2.8 peratus pada suku kedua tahun ini, berbanding 2.4 peratus pada suku pertama, menurut data yang dikeluarkan HDB semalam.
Kenaikan itu antara lain didorong kelewatan pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO), kata pengurus negara PropertyGuru Singapura, Dr Tan Tee Khoon, yang berkata harga flat HDB jualan semula berada pada paras tertinggi.
"Sehingga kelengahan pembinaan BTO dapat dikurangkan sepenuhnya dan masa penyiapan dipendekkan, keluarga muda terus didorong ke arah pasaran flat jualan semula," kata Dr Tan.
Sejumlah 6,819 flat jualan semula HDB bertukar tangan dalam suku kedua tahun ini, turun 1.7 peratus berbanding 6,934 pada suku sebelumnya - menandakan penurunan urus niaga buat suku ketiga berturut-turut.
Berbanding suku kedua tahun lalu apabila 7,063 flat HDB jualan semula dijual, urus niaga adalah 3.5 peratus lebih rendah.
Pengarah kanan penyelidikan Huttons Asia, Encik Lee Sze Teck, berkata penurunan itu menunjukkan tanda-tanda pasaran hilang momentum, dan menyatakan bahawa ia adalah penjualan suku tahun terendah sejak pemutus rantaian jangkitan pada suku kedua 2020.
Beliau berkata lebih ramai pembeli enggan membayar harga lebih tinggi.
"Diperhatikan terdapat peningkatan dalam bilangan flat jualan semula yang harga urus niaganya sepadan dengan harga penilaian, membawa kepada sifar nilai atas taksiran (COV)," katanya.
COV ialah jumlah yang perlu dibayar oleh pembeli secara tunai apabila flat jualan semula dijual melebihi penilaian HDB.
Jika penilaian lebih rendah daripada harga jualan, COV mesti dibayar secara tunai, bukan daripada geran, simpanan CPF atau pinjaman rumah daripada HDB atau bank.
Penganalisis kanan One Global Group, Encik Mohan Sandrasegeran, berkata kemerosotan bilangan flat jualan semula yang bertukar tangan dalam suku kedua tahun ini boleh dikaitkan dengan sambutan menggalakkan bagi flat BTO dan Penjualan Flat Baki yang dilancarkan Mei lalu, serta kesepian musim cuti sekolah bulan lalu.
Suku kedua menyaksikan 83 flat HDB jualan semula dijual dengan harga sekurang-kurangnya $1 juta - setara dengan 83 flat dalam suku pertama.
Encik Sandrasegeran berkata 166 urus niaga bernilai sekurang-kurangnya $1 juta dalam separuh pertama tahun ini merupakan petunjuk kukuh bahawa permintaan untuk flat sedemikian masih tidak berbelah bahagi, walaupun terdapat tekanan inflasi dan kadar faedah yang meningkat.
Beliau menambah:
"Pembeli flat sedemikian rata-rata tidak terhalang dengan harga yang tinggi dan mempunyai kecairan yang mencukupi, kerana mereka sangat menitikberatkan ciri-ciri lokasi serta saiz rumah yang luas."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg