HARGA inflasi teras di Singapura terus meningkat sehingga 1 peratus bulan lalu berbanding setahun lalu, yang merupakan kadar terpantas sejak dua tahun lalu.
Kenaikan itu lebih tinggi berbanding kenaikan 0.6 peratus pada Jun lalu, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) semalam.
Ia didorong oleh kos gas dan elektrik yang lebih tinggi, yang mendorong Indeks Harga Pengguna (CPI) naik buat enam bulan berturut-turut.
Kenaikan itu adalah yang tertinggi sejak 2019 apabila CPI teras meningkat 1.2 peratus.
CPI secara keseluruhan naik 2.5 peratus bulan lalu daripada 2.4 peratus Jun lalu. Ia didorong oleh kenaikan inflasi, kos penginapan serta makanan yang meningkat.
Kos gas dan elektrik meningkat pada kadar lebih pantas disebabkan perangkaan lebih rendah pada suku ketiga tahun lalu apabila tarif bekalan susut secara mendadak menyusuli penurunan harga minyak.
Kos elektrik dan gas meningkat 9.9 peratus pada Julai, mengubah kemerosotan 1.8 peratus pada bulan sebelumnya.
"Berdasarkan perangkan selama setahun, tarif elektrik meningkat 19.3 peratus pada Julai, manakala tarif gas meningkat 12.9 peratus,'' ujar kenyataan MTI dan MAS.
Kos penginapan pula meningkat 1.4 peratus Julai lalu, manakala inflasi makanan meningkat 1.1 peratus hasil kenaikan harga makanan mentah yang lebih tinggi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg