Penduduk Singapura dijangka turut terkesan apabila harga bahan api melonjak naik berikutan perang sebulan antara Amerika-Israel dan Iran, yang mencetuskan gelombang kejutan di pasaran tenaga sejagat.

Negara Asia paling terkesan kerana mereka mengimport sekitar 80 peratus minyak yang melalui Selat Hormuz, laluan penting bagi kira-kira seperlima bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.

Kini, krisis itu menusuk ke dalam kehidupan harian rakyat Singapura, merangkumi kediaman, jalan raya, udara dan laut.

Menurut SP Group, tarif elektrik kediaman akan naik kepada 29.72 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) dari April hingga Jun, peningkatan 2.1 peratus berbanding suku sebelumnya.

Bil bulanan bagi isi rumah flat empat bilik dijangka meningkat kira-kira $1.96 selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

City Energy turut menyelaraskan tarif gas kepada 23.89 sen setiap kWj bagi tempoh yang sama.

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) menjelaskan, kenaikan itu sebahagiannya didorong oleh lonjakan kos bahan api memandangkan kira-kira 95 peratus elektrik Singapura bergantung kepada gas asli import, bahan mentah utama bagi pengeluaran gas.

Dengan jangkaan harga bahan api akan kekal tinggi, EMA memberi amaran kenaikan tarif elektrik dan gas seterusnya, termasuk yang lebih ketara, mungkin tidak dapat dielakkan.

Pengguna kontrak runcit elektrik mungkin juga berdepan kenaikan harga apabila memperbaharui kontrak mereka.

Sejak bermulanya perang, harga petrol dan diesel terus meningkat, melepasi paras tertinggi semasa perang Russia-Ukraine pada 2022.

Pada 31 Mac, petrol RON95 dijual antara $3.40 dengan $3.42 seliter di stesen Caltex, Esso, Shell, Sinopec dan SPC, berdasarkan aplikasi Price Kaki oleh Persatuan Pengguna Singapura (Case).

Sementara itu, RON92 pula sekitar $3.38 seliter di stesen Caltex, Esso dan SPC.

Harga diesel melonjak lebih tinggi, mencecah sehingga $4.13 seliter di beberapa stesen.

Kenaikan itu turut membebankan kos pengangkutan.

Syarikat kenderaan sewa privet dan teksi telah memperkenalkan caj tambahan untuk menampung kenaikan kos bahan api.

Grab menaikkan caj perjalanan biasa sebanyak 50 sen kepada 90 sen bagi perjalanan bukan teksi atau standard.

Bahagian teksi Grab, GrabCab, Strides Premier dan Prime Taxi pula meningkatkan tambang bermeter dari 30 Mac hingga 31 Mei.

Pada 23 Mac, jurucakap GrabCab menjelaskan kenaikan itu dikenakan ke atas semua perjalanan teksi bermeter, sama ada yang ditahan di jalanan atau ditempah melalui aplikasi Grab.

Tambang unit meningkat daripada 26 sen kepada 27 sen bagi setiap 45 saat menunggu, setiap 400 meter antara 1 kilometer (km) dengan 10km, dan setiap 350 meter (m) selepas 10km.

Strides Premier dan Prime Taxi juga akan mengenakan caj 27 sen, naik satu sen, bagi setiap 45 saat menunggu, setiap 400 meter sehingga 10km, dan setiap 350 meter selepas 10km.

Bagi kenderaan premium Prime, tambangnya 39 sen, juga naik satu sen, bagi kadar jarak dan masa yang sama.

ComfortDelGro (CDG), pengendali teksi terbesar Singapura, pada 17 Mac turut menaikkan tambang sementara serta memperkenalkan caj tempahan aplikasi, bagi tujuan membantu pemandu mengurus kos operasi yang meningkat.

Antara 24 Mac dengan 31 Mei, tambang bermeter meningkat satu sen bagi jarak dan masa menunggu. 

Caj pemandu 50 sen dikenakan bagi tambang di bawah $15 dan 80 sen bagi $15 ke atas untuk tempahan melalui aplikasi CDG Zig.

Dalam sektor penerbangan, harga bahan api jet melonjak ke paras termahal sejak peperangan Iran bermula. 

Beberapa syarikat penerbangan telah menaikkan tambang termasuk Air New Zealand yang berkata ia menaikkan tambang ekonomi sehala sebanyak NZ$20 ($15) bagi penerbangan jarak dekat dan NZ$90 bagi penerbangan jarak jauh.

Pada 25 Mac, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata levi bahan api jet hijau bagi penerbangan dari Singapura ditangguhkan akibat kesan perang Timur Tengah terhadap syarikat penerbangan dan penumpang.

Levi itu kini dikenakan kepada penumpang yang berlepas dari Singapura mulai 1 Januari 2027 bagi tiket yang dijual dari 1 Oktober 2026, berbanding pelaksanaan asal pada Oktober bagi tiket dijual dari 1 April.

Penumpang yang berlepas dari Singapura mulai 1 Januari 2027 akan membayar levi $1 hingga $41.60 untuk pembelian bahan api penerbangan mampan, kebanyakannya daripada bahan buangan seperti minyak masak terpakai.

Beberapa pengendali feri mengenakan caj bahan api tambahan $6 bagi perjalanan dari Singapura mulai 12 Mac.

Sebagai contoh, penumpang dikenakan caj tambahan $6 bagi perjalanan feri Singapura-Batam dan 65,000 rupiah ($5) bagi laluan feri Batam-Singapura, berdasarkan Batam Fast di laman Facebooknya.

Tambang berbeza mengikut pengendali, dengan julat ulang-alik sekitar 700,000 hingga 900,000 rupiah sebelum caj tambahan, lapor The Jakarta Post.

Penumpang kapal persiaran seperti Genting Dream atau Star Voyager dikenakan caj tambahan $15 seorang setiap malam.

Pada 17 Mac, StarCruises dan Dream Cruises berkata dalam kenyataan berasingan, caj itu dikenakan bagi tempahan baru mulai 20 Mac dan ke atas penumpang berumur dua tahun ke atas.