
HARGA sewa bagi kededua rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan privet terus meningkat November lalu, dengan beberapa pakar menyatakan penyewa semakin merasakan kesan pasaran yang lebih berpihak kepada pemilik hartanah buat masa kini.
Kos sewa HDB naik 1.6 peratus November lalu, berbanding 1.8 peratus pada Oktober, dengan harga sewa bagi semua jenis flat di estet matang dan bukan matang turut meningkat, menurut perangkaan terkini dikeluarkan laman hartanah 99.co dan SRX semalam.
Harga sewa kondominium pula naik 2 peratus November lalu, satu peningkatan lebih perlahan berbanding 2.7 peratus sebulan lalu, dengan hartanah di kawasan luar bandar meningkat dengan lebih pantas pada 3.4 peratus.
November menandakan bulan ke-23 secara berturut-turut harga sewa kondominium terus meningkat, dan bulan ke-29 bagi HDB.
Seorang pakar seperti ketua penyelidikan dan konsultan ERA Realty, Encik Nicholas Mak, berkata:
"Peningkatan harga sewa perumahan yang kekal berterusan ini didorong permintaan tinggi oleh golongan ekspatriat dan penyewa tempatan, serta bekalan rumah yang terhad akibat penyelesaian flat HDB dan projek kondo baru yang ditangguh.
"Jika dibandingkan dengan harga sewa kondo pada November tahun lalu, ia telah melonjak 34 peratus dengan harga sewa di kawasan luar bandar melonjak 36.5 peratus.
Ketua eksekutif agensi hartanah Huttons Asia, Encik Mark Yip, pula berkata lebih ramai penyewa unit perumahan di dalam bandar dan di sekeliling bandar dikenakan harga sewa lebih tinggi.
"Penyewa tersebut terpaksa berpindah ke kawasan luar bandar, sekali gus menyebabkan harga sewa pada November naik lagi," katanya.
Sewa HDB bulan lalu naik lebih tinggi sebanyak 27.8 peratus berbanding November 2021, dengan flat eksekutif mencatatkan kelonjakan 31.4 peratus
Peningkatan dua angka pada pertumbuhan tahun-demi-tahun bermula pada suku keempat 2021, kata Encik Mak.
"Tempoh itu adalah apabila terdapat pemulihan dari segi keyakinan dalam pasaran pekerjaan dan hartanah, kerana lebih ramai orang merasakan bahawa keadaan pandemik sudah bertambah reda," tambahnya.
"Namun, ramai penyewa sudah mula merasakan keperitan kelonjakan sewa ini pada tahun lalu."
Sementara itu, bilangan kondominium untuk disewakan merosot buat kali kelima secara berturut-turut, iaitu pada 4.5 peratus dengan sekitar 4,160 unit tersedia pada November lalu.
Bilangan unit yang disewa turun 16.5 peratus tahun-demi-tahun, 7.2 peratus lebih rendah daripada paras purata lima tahun bagi bulan November.
Lebih kurang flat HDB disewakan bulan lalu, dengan kemerosotan sebanyak 15.2 peratus kepada sekitar 1,691 unit, memutar balik peningkatan yang dilihat pada Oktober.
Bilangan rumah yang disewa dalam pasaran HDB turun 10 peratus tahun demi tahun dan 10.9 peratus lebih rendah berbanding paras purata lima tahun bagi bulan November.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg