KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) akan meneliti cara menjadikan harga ubat-ubatan bagi penyakit kronik di klinik doktor keluarga (GP) lebih dimampui dan setanding dengan harga di poliklinik.
Butiran lanjut mengenai cara menjadikan harga ubat penyakit kronik di GP lebih dimampui akan dikongsi dalam Kertas Putih mengenai Healthier SG yang akan dibentangkan di Parlimen pada bulan depan, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, hari ini (3 Sept).
Ini sedang pemerintah mengumumkan pada Mac lalu sebuah program akan dimulakan tahun depan bagi penduduk mendaftar dengan GP atau doktor poliklinik pilihan mereka yang akan menjadi barisan penjagaan kesihatan pertama mereka.
Langkah itu menyusuli maklum balas yang dikumpulkan melalui sesi pendekatan yang diadakan MOH sejak Mac lalu bersama lebih 6,000 penduduk dan pihak berkepentingan utama mengenai strategi Healthier SG.
Strategi itu, yang kali pertama didedahkan semasa bahas Belanjawan MOH pada Mac lalu, bertujuan mengalihkan tumpuan daripada penjagaan hospital berdasarkan penyakit kepada penjagaan yang bertujuan mencegah penyakit.
Strategi itu akan dimulakan dengan mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas pada tahun depan, dan akan diperluaskan kepada kumpulan usia lain kemudian.
Encik Ong berkata, penduduk yang mengalami penyakit kronik telah memberikan maklum balas bahawa mereka lebih memilih pergi ke poliklinik untuk mendapatkan ubat-ubatan kerana harganya lebih murah dan telah bertanya sama ada harga ubat di GP boleh dijadikan lebih dimampui.
"Mereka berkata mereka mungkin berjumpa doktor keluarga dengan kerap, tetapi apabila mereka ada penyakit kronik dan mereka perlu mendapatkan ubat kolesterol atau ubat kencing manis, mereka akan tetap pergi ke poliklinik kerana harga ubatnya lebih murah.
"Oleh itu, mereka telah bertanya sama ada mereka boleh mendapatkannya daripada klinik (GP) yang telah mereka berdaftar. Ini satu maklum balas yang amat praktikal dan penting," kata beliau, yang ditemui media di satu acara berjalan amal di Canberra Street.
Dapatan daripada sesi pendekatan yang diadakan MOH menunjukkan sekitar dua daripada tiga penduduk menyokong idea mempunyai GP, dan berminat mendaftar dengan doktor keluarga yang akan mempunyai gambaran keseluruhan mengenai keperluan perubatan dan kesihatan mereka.
Namun, Encik Ong berkata penduduk juga mahukan fleksibiliti untuk memilih dan bertukar doktor dan klinik, misalnya jika mereka berpindah ke estet kejiranan lain.
Sekitar tiga daripada empat penduduk juga menyokong saranan untuk mempunyai rancangan kesihatan yang akan memaparkan matlamat dan keadaan kesihatan mereka serta tindakan susulan yang perlu diambil bagi kesihatan lebih baik.
MOH berkata ia akan menggabungkan ciri-ciri utama, seperti pemeriksaan kesihatan kerap bagi mengesan dan mencegah isu kesihatan awal, dalam rancangan kesihatan itu.
Selain itu, penduduk telah memberi maklum balas bahawa mereka mahu kehidupan seharian mereka disepadukan dengan peluang untuk menjadi lebih sihat dan telah memberikan beberapa saranan untuk menggalak individu mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Ini seperti memperkenalkan sistem ganjaran seperti mengumpulkan mata kesihatan dan memberikan baucar diskaun, dan menggunakan aplikasi kesihatan untuk memantau dan menentukan matlamat kesihatan.
Encik Ong berkata semua maklum balas yang diterima itu adalah penting dan akan digabungkan ke dalam strategi Healthier SG yang sedang dilakarkan kini.
"Menjelang Oktober, kami akan membentangkan saranan penuh di Parlimen dalam Kertas Putih dan kami akan mengadakan perbahasan di Parlimen," kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg