Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hargai semangat warga dalam misi tewaskan Covid-19

Dec 15, 2020 | 5:30 AM
DILONGGAR: Fasa ketiga akan menyaksikan had orang di tempat awam seperti pusat penjaja dan beli-belah serta tempat-tempat beribadah dilonggar lagi. - Foto fail
DILONGGAR: Fasa ketiga akan menyaksikan had orang di tempat awam seperti pusat penjaja dan beli-belah serta tempat-tempat beribadah dilonggar lagi. - Foto fail -

KITA sedang hampir kepada tempoh setahun sejak kes Covid-19 pertama di sini.

Tahun ini amat tidak menentu, banyak keadaan turun-naik yang turut dipenuhi rasa gelisah dan keraguan.

Namun banyak yang telah berubah dalam beberapa bulan lalu.

Pada Mac dan April, kami merakamkan bilangan kes tertinggi melebihi 1,000 kes sehari.

Kini, bagi kebanyakan hari, tiada kes jangkitan dalam masyarakat.

Semasa pandemik ini baru bermula, kita bimbang jika bekalan mencukupi di pasar raya.

Hari ini rak-rak pasar raya penuh dan kegiatan membeli-belah tenang dan tidak mencetus perkara yang tidak dijangka.

Ketika itu, ibu bapa bimbang sama ada anak-anak mereka harus pergi ke sekolah.

Namun kita mengekalkan persekolahan tahun ini, kegiatan kokurikular (CCA) disambung semula dan pelajar yang bakal melengkapkan pengajian di institusi masing-masing menamatkan peperiksaan dan sedang menanti keputusan.

Kita tidak akan melupakan tempoh pemutus litar dua bulan pada April dan Mei.

Hari ini, kehidupan kian menjadi lebih normal.

Kita pergi ke kerja, bertemu rakan-rakan, walaupun dalam kumpulan tidak melebihi lima orang.

Bagaimana kita memastikan keadaan terkawal ini berlaku?

Ia melibatkan usaha hebat dan sedikit tuah.

Langkah yang kita ambil amat sukar bagi setiap orang tetapi ia berkesan.

Rakyat Singapura menunjukkan kecekalan hati dan menyesuaikan diri dengan langkah-langkah itu.

Ekonomi kita juga terjejas teruk tapi kita tidak membiarkan ia runtuh.

Meskipun ekonomi sedunia terganggu, kebanyakan pekerja kita dapat mengekalkan pekerjaan mereka.

Kini, pertahanan kita terhadap Covid-19 lebih kuat. Kita telah membina keupayaan dan prosedur kita bagi ujian.

Kita telah memperkenalkan ujian rutin berjadual (RRT) bagi kumpulan berisiko lebih tinggi.

Kita telah mula menggunakan Ujian Pantas Antigen (ART) untuk memulakan semula perhimpunan dan acara lebih besar secara selamat.

Kita juga memperkukuh keupayaan kita menjejak kontak.

Ini termasuk memperluas program SafeEntry dan TraceTogether dan mengedarkan token TraceTogether.

Kita telah menyesuaikan diri kepada sekatan yang tidak selesa dan mencari jalan untuk meneruskan hidup.

Kita menjaga satu sama lain, mengingatkan satu sama lain supaya mematuhi langkah jarak selamat, memakai pelitup dan bertemu doktor jika sakit dan sebagainya.

Saya menghargai bagaimana rakyat Singapura bukan sahaja mematuhi peraturan malah semangat di sebalik peraturan itu.

Kita telah kekal bersatu, terus berjaga-jaga dan tidak membenarkan diri kita bersikap sambil lewa.

Dengan sokongan semua pihak, langkah-langkah dipertingkat yang dilaksana berkesan dan kita boleh mengurangkan sekatan secara bertahap.

Kita boleh berbangga dengan kemajuan ini.

LALUAN KE FASA KETIGA

Disebabkan usaha anda, kita kini bersedia beralih ke Fasa Ketiga.

Fasa ketiga akan bermula dalam masa dua minggu, pada 28 Disember.

Ini bermakna kita akan mengakhiri tahun ini dengan sedikit berita baik.

Jawatankuasa Bertindak Kementerian akan memberi keterangan mengenai butirannya sejurus selepas siaran saya ini.

Kita akan melonggarkan had orang di tempat awam seperti pusat beli-belah dan tempat tarikan, dan di tempat-tempat beribadah.

Satu perubahan ketara adalah untuk membenarkan kumpulan sehingga lapan orang berhimpun, lebih tinggi daripada maksimum lima orang pada masa ini.

Jadi lapan orang boleh makan di luar bersama, atau mengunjungi rumah orang lain.

Ini akan menjadikannya lebih mudah untuk mengadakan perhimpunan keluarga semasa tempoh perayaan.

Harap faham, meskipun kita beralih ke Fasa Ketiga, perjuangan masih belum dimenangi.

Virus Covid-19 masih belum dapat dihapuskan.

Perjalanan masih jauh. Di seluruh dunia, pandemik masih berleluasa.

Banyak negara sedang mengalami gelombang jangkitan kedua, ketiga, malah keempat, dengan kes harian mencapai bilangan rekod.

Sempadan antarabangsa kebanyakannya terus ditutup.

Namun perdagangan dan perjalanan (rentas sempadan) adalah sumber penting ekonomi kita

Lebih lama sempadan kita tertutup kepada pelawat, lebih besar risikonya kita tersingkir secara tetap sebagai hab antarabangsa, dan selanjutnya menjejas sumber pencarian kita.

Justeru, satu-satunya pilihan kita adalah untuk membuka semula sempadan dengan cara yang terkawal dan selamat.

Apabila kita berbuat demikian, kita akan melihat lebih banyak kes diimport.

Dan ada sebahagian risiko kes-kes ini menular kepada masyarakat.

Kita telah pun mengalami beberapa kes baru-baru ini:

1. Seorang kakitangan lapangan terbang, yang besar kemungkinan berhubungan dengan penumpang yang dijangkiti;

2. Seorang pekerja maritim yang dijangkiti virus selepas menaiki kapal untuk kerja-kerja pembaikan dan pembekalan semula.

Ini adalah risiko terhitung yang perlu kami terima.

Namun pemerintah akan mengambil setiap (langkah) pencegahan dan melakukan yang terbaik untuk mencegah kes-kes diimport daripada mencetus penularan baru.

Pada masa yang sama, rakyat Singapura perlu terus berjaga-jaga kerana virus ini besar kemungkinan masih wujud secara senyap dalam masyarakat kita.

Kita semua perlu memainkan peranan.

Ambillah kesempatan had (anggota) perhimpunan yang lebih tinggi untuk menjalin semula hubungan dengan rakan dan keluarga. Tapi jangan abaikan sikap berjaga-jaga.

Ini bukan masanya untuk bersantai atau mengurangkan sikap berjaga-jaga, atau mengadakan pesta besar-besaran kerana menyangka masalah telah tiada.

Beralih dari Fasa Kedua ke Fasa Ketiga adalah langkah berhati-hati yang dinilai dengan teliti.

Kita sedang melonggarkan sekatan dengan cara terkawal, supaya kita boleh mengekalkan keadaan Covid-19 yang stabil dan mengambil langkah ke hadapan yang lain nanti.

Adalah penting anda terus berhati-hati dan bersikap berjaga-jaga, terus bekerjasama dengan pemerintah dan mematuhi peraturan dan sekatan yang dilaksana pada Fasa Ketiga.

KEMAS KINI MENGENAI VAKSINASI

Berapa lamakah lagi perlu kita menghadapi keadaan ini?

Ia boleh berlarutan bagi jangka lama, kemungkinan setahun atau lebih.

Satu faktor utama ialah berapa pantasnya vaksin Covid-19 dapat kita miliki.

Pemerintah telah bekerja secara senyap di balik tabir, sejak hari-hari awal pandemik untuk mendapatkan akses kepada vaksin.

Ini bukan proses yang mudah.

Lebih daripada 200 calon vaksin sedang dibangunkan, dan tidak semuanya berjaya.

Kita mula berbincang awal dengan syarikat farmaseutikal untuk memahami sainsnya dan mengenal pasti calon yang menunjukkan potensi dan vaksin yang boleh mencapai tahap penghasilan tidak lama lagi.

Kita mengetepikan lebih $1 bilion.

Kita membuat beberapa pertaruhan, untuk menandatangani perjanjian pembelian lanjut dan membuat pembayaran pendahuluan awal kepada calon-calon yang dianggap paling menunjukkan potensi, termasuk Moderna, Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

Kita juga mencapai persetujuan dengan syarikat farmaseutikal untuk mengadakan ujian klinikal dan pembangunannya di Singapura, dan menarik sebahagian untuk membangun keupayaan perkilangan vaksin di sini.

Kita juga menyokong usaha setempat untuk membangunkan vaksin.

Ini memberikan saintis dan penyelidik kita peluang melakukan kerja yang canggih. Ini juga adalah 'insurans' jika rantaian bekalan sedunia terjejas.

Dengan cara ini, kami membina portfolio pilihan (vaksin) yang pelbagai untuk memastikan Singapura berada hampir di depan, dan bukan di belakang semasa beratur bagi mendapatkan vaksin.

Mendapatkan akses awal kepada vaksin melibatkan usaha seluruh pemerintah. Banyak agensi dan pegawai awam, yang dipimpin Ketua Perkhidmatan Awam, terlibat dalam tugas genting ini.

Saya puji mereka kerana melakukan tugas baik. Mereka adalah antara kumpulan wira di balik tabir yang telah membantu kita mengharungi krisis ini.

Seperti yang telah anda baca di dalam berita, vaksin-vaksin pertama kini sedang dihasilkan.

Saya amat gembira untuk memberitahu anda bahawa selepas mengkaji bukti saintifik dan data ujian klinikal, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech bagi kegunaan.

Bekalan pertama (vaksin) seharusnya tiba pada hujung bulan ini, menjadikan Singapura antara negara pertama untuk mendapatkan vaksin ini.

Kita juga menjangka vaksin lain akan tiba di Singapura dalam bulan-bulan mendatang.

Jika kesemuaya berjalan mengikut rancangan, kita akan mempunyai vaksin yang mencukupi bagi semua orang di Singapura pada suku ketiga 2021.

MOH telah menubuhkan jawatankuasa doktor dan pakar untuk mencadangkan strategi vaksinasi bagi kita.

Jawatankuasa ini telah mengusul supaya semua penduduk dewasa di Singapura divaksinasi, tetapi vaksinasi adalah secara sukarela.

Keutamaan pertama diberikan kepada mereka yang paling berisiko (dijangkiti), seperti pekerja jagaan kesihatan dan pekerja barisan depan, serta warga tua dan yang lebih terdedah kepada jangkitan.

Menyusuli itu, jawatankuasa mengusul supaya vaksinasi dilakukan secara berperingkat bagi baki penduduk dan bagi semua orang yang mahukan vaksinasi menjelang akhir tahun hadapan.

Pemerintah telah menerima usulan ini. Saya mempunyai keyakinan peribadi terhadap pakar kita.

Rakan kerja Kabinet dan saya, termasuk yang lebih berusia, akan mendapatkan vaksinasi awal. Ini adalah untuk menunjukkan kepada anda, terutama bagi warga berusia seperti saya, bahawa kita yakin vaksin ini adalah selamat.

Kami telah memutuskan untuk menawarkan vaksin percuma kepada semua warga Singapura, dan kepada semua penduduk jangka panjang yang berada di sini pada masa ini.

Justeru, saya amat menggalakkan anda supaya mendapatkan vaksinasi apabila vaksin ditawarkan kepada anda. Ini kerana bila anda mendapatkan vaksinasi, anda bukan sahaja melindungi diri anda, malah memainkan peranan melindungi orang lain, terutama orang yang disayangi.

Lebih ramai di kalangan kita yang menjalani vaksinasi, lebih sukar bagi virus untuk merebak dan kita akan menjadi lebih selamat sebagai satu masyarakat.

Vaksin akan menyokong pemulihan kita menerusi berbilang cara.

Sebagai hab penerbangan sedunia, kita memainkan peranan genting dalam menghantar vaksin ke serata dunia.

Vaksin memerlukan pengurusan rantaian sejuk.

Sebuah peti sejuk biasa tidak memadai: Vaksin Pfizer perlu disimpan di suhu -70 darjah Celsius, lebih sejuk daripada di Artik semasa musim sejuk!

Ini memerlukan prasarana, piawaian tinggi, kakitangan mahir dan keterhubungan baik kepada berbilang negara di seluruh rantaian bekalan.

Mujurlah, Singapura mempunyai ekosistem kukuh dalam menguruskan kargo.

Syarikat-syarikat logistik utama sedunia seperti DHL, UPS dan FedEx berpangkalan di sini.

SIA, dan rakan kongsi Lapangan Terbang Changi diiktiraf Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) untuk menguruskan dan mengangkut bekalan farmaseutikal.

Kita kini sedang melengkapkan diri kita untuk menguruskan bekalan vaksin yang besar ke Singapura dan menerusi Singapura untuk membantu dalam pertarungan sedunia menentang Covid-19.

Kita tidak tiba di sini semalaman.

Kita telah membuat perancangan awal, mencipta peluang secara sistematik bagi diri kita.

Ini memerlukan pelaburan dan perancangan saban tahun, membina iklim mesra perniagaan dan memperluas hubungan udara di serata dunia.

Pelaburan jangka panjang ini kini sedang membuahkan hasilnya.

PENUTUP

Semasa krisis yang berlaku secara mendadak ini, kita telah bertindak pantas dan secara menyeluruh, memanfaatkan semua sumber yang ada untuk menghuraikan masalah dan kekal berdaya tahan.

Keadaan kita kini stabil, hanya kerana setiap orang telah berusaha gigih dan banyak berkorban.

Kini, apabila vaksin wujud, kita boleh melihat penghujung perjalanan ini.

Dengan vaksin wujud secara lebih meluas, bukan sahaja di Singapura, malah di rantau kita dan di dunia, kita boleh memandang ke hadapan dan menyambung semula hidup kita seperti biasa.

Ayuh kita meneruskan usaha dalam perjalanan peringkat terakhir ini, untuk melintasi garisan penamat bersama, dan melengkapkan misi menewaskan Covid-19.

"Kita telah menyesuaikan diri kepada sekatan yang tidak selesa dan mencari jalan untuk meneruskan hidup. Kita menjaga satu sama lain, mengingatkan satu sama lain supaya mematuhi langkah jarak selamat, memakai pelitup dan bertemu doktor jika sakit dan sebagainya. Saya menghargai bagaimana rakyat Singapura bukan sahaja mematuhi peraturan malah semangat di sebalik peraturan itu. Kita telah kekal bersatu, terus berjaga-jaga dan tidak membenarkan diri kita bersikap sambil lewa. Dengan sokongan semua pihak, langkah-langkah dipertingkat yang dilaksana berkesan dan kita boleh mengurangkan sekatan secara bertahap. Kita boleh berbangga dengan kemajuan ini. - PM Lee Hsien Loong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg