LIGA Muslim Kadayanallur Singapura (SKML) akan menganjurkan Hari Keluarga tahunannya esok di Bay East Garden, bersebelahan PAssion Wave @ Marina Bay, dari 10 pagi hingga 3.30 petang.
Acara kali itu juga sempena ulang tahun ke-82 SKML dan bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan dan membina sebuah masyarakat lebih kukuh, ujar penasihat badan itu, Encik Naseer Ghani
Beliau memberitahu Berita Harian kegiatan pada acara itu termasuk permainan, hiburan dan penjualan makanan bagi semua, daripada kanak-kanak kepada warga emas.
"Selain permainan karnival, cabutan bertuah dan persembahan pentas, kami mengadakan gerai makanan ringan seperti kacang putih, dan stesen mengambil gambar dan melukis inai," ujar Encik Naseer.
Acara itu turut menggalak penggunaan bahasa ibunda.
"Kami juga mempunyai teka-teki yang menggalak generasi muda bercakap bersama datuk dan nenek mereka dalam bahasa ibunda.
"Acara ini terbuka untuk semua. Kami harap kegiatan kami sediakan akan menggalakkan keluarga dan rakan-rakan untuk berkumpul dan berinteraksi antara satu sama lain," tambah Encik Naseer.
Tetamu terhormat acara itu ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Ia akan juga disertai wakil daripada Yayasan Mendaki dan Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda).
Selaras dengan matlamat membina sebuah masyarakat kukuh, SKML, yang merupakan kerabat Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), turut menyokong inisiatif kebangsaan 'Menyambut Keluarga SG', yang dipimpin Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Hari Keluarga SKML , yang biasanya menarik antara 800 hingga 1,000 hadirin, dianjurkan badan itu sejak lebih 15 tahun lalu.
Perkhidmatan pengangkutan bas disediakan dari beberapa lokasi untuk ke Bay East Garden.
Tiket berharga $15 seorang, manakala tiket percuma akan diberi kepada orang kurang upaya. Sila hubungi talian 8821-3576 bagi maklumat lanjut atau beli tiket di lokasi esok.
HARI KELUARGA SKML
Tarikh: 17 Disember
Tempat: Bay East Garden, 11 Rhu Cross Road (sebelah PAssion Wave @ Marina Bay)
Masa: 10 pagi - 4 petang
Acara:
- Permainan karnival
- Cabutan bertuah
- Persembahan pentas
- 'Goodie bag'
- Stesen gambar
- Stesen inai
- Teka-teki
Khidmat bas disediakan seperti berikut:
- 9 pagi - 9.45 pagi: Ulang-alik dari Stesen MRT Stadium (Exit B)
- 9 pagi: Dari Queenstown (Stirling Road, belakang Blk 145)
- 9 pagi: Dari Telok Blangah Heights (stesen bas di Blk 67 Telok Blangah Street 32)
- 9 pagi: Dari Stesen MRT Lakeside
- 4 petang - 5 petang: Ulang-alik dari Bay East Garden ke Stesen MRT Stadium
Tiket:
- Berharga $15 seorang
- Percuma bagi orang kurang upaya
- Hubungi 8821-3576 atau beli di lokasi
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg