SERAMAI 11 wanita dan 11 lelaki warga Malaysia telah diberkas berikutan siasatan bersama pihak berkuasa dua negara terhadap kes penipuan pekerjaan yang melibatkan 250 mangsa di Singapura.
Hasil siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Ehwal Komersial (CAD) Polis Singapura, bersama Kontinjen Polis Johor (JPC) JabatanSiasatan Jenayah Komersial (CCID) Polis Diraja Malaysia telah membongkar sindiket penipuan pekerjaan berpangkalan di Johor.
Menurut satu kenyataan Polis Singapura, para pegawai dari JPC pada 21 Jun telah menyerbu empat premis di Johor dan telah memberkas 11 wanita dan 11 lelaki berusia antara 15 tahun dengan 28 tahun, yang disyaki terlibat dalam sindiket tersebut.
Sindiket itu dipercayai bertanggungjawab terhadap kes-kes penipuan pekerjaan yang melibatkan 250 mangsa di Singapura.
Semasa operasi, sebanyak 48 peralatan telekomunikasi, 12 komputer riba dan risalah latihan telah dirampas.
Pengarah CAD David Chew berkata: "Sindiket itu menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan mangsa melintasi sempadan antarabangsa dengan tawaran pekerjaan palsu yang dijanjikan pulangan lumayan.
"Sebagai sebahagian daripada tipu muslihat, mangsa harus membuat pesanan di wadah e-dagang dan membuat pembayaran ke akaun bank pihak ketiga, dengan alasan ia akan meningkat penilaian peniaga dalam talian."
CAD dengan kerjasama pihak berkuasa di Johor telah berjaya bertindak merentasi sempadan antarabangsa sebagai tindak balas terhadap ancaman itu, tambah beliau.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua JPC, Pesuruhjaya Polis Dato'Ayob Khan Bin Mydin Pitchay, Pengarah CCID, Pesuruhjaya Polis Dato' Mohd Kamarudin Bin Md Din, dan pegawai mereka atas sokongan dan komitmen yang kuat dalam menangani sindiket jenayah transnasional," ujar beliau.
Polis mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah untuk melindungi diri mereka sendiri daripada menjadi mangsa penipuan.
Polis turut menyenaraikan panduan dan perkara-perkara yang harus diberi perhatian ketika mencari pekerja. Antaranya:
a) Jangan terima tawaran pekerjaan yang meragukan - menawarkan pulangan lumayan dengan usaha yang minimum;
b) Sekiranya anda diundang ke ruang sembang kumpulan di media sosial yang mempromosikan pekerjaan sambilan berafiliasi dengan mana-mana pasaran dalam talian, anda patut tolak undangan itu, sekat nombornya dan laporkan kumpulan itu ke aplikasi Scamshield;
c) Sentiasa mengesahkan kesahihan tawaran pekerjaan dengan e-dagang rasmi di laman web. Wadah e-dagang tidak akan pernah meminta anda memindahkan wang ke akaun bank dengan janji bahawa mereka akan mengembalikan wang anda dengan komisen;
d) Jangan klik URL yang mencurigakan atau memuat turun aplikasi dari yang tidak diketahui
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg