LEBIH 2,500 pekerja telah diuji bagi Covid-19 di Jewel Changi Airport yang dibuka semula semalam setelah ia ditutup selama sebulan.

Kesemua keputusan ujian mereka didapati negatif, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Pihak pengurusan pusat beli-belah itu juga berkata, hampir 90 peratus kakitangan yang layak menerima vaksin telah disuntik sekurang-kurangnya satu dos vaksin koronavirus.

Untuk membantu perniagaan yang terjejas ekoran penutupan sementara pusat beli-belah itu, pelepasan sewa secara sepenuhnya akan dilanjutkan lagi seminggu, dari Isnin (semalam) hingga Ahad ini, kata Cik Hung Jean, ketua eksekutif Pembangunan Jewel Changi Airport.

Langkah berjaga-jaga yang diterapkan di situ juga telah dipertingkat.

Ini termasuk membersihkan sepenuh alat hawa dingin dua jam sebelum pusat beli-belah itu dibuka.

Semasa penutupan Jewel, kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan telah dilaksanakan di pusat beli-belah itu. Ini termasuk bagi premis penyewanya.

Namun tiada kes Covid-19 dikesan berpunca daripada pusat beli-belah tersebut.

Tinjauan ST mendapati bahawa pemilik perniagaan di situ masih bersikap prihatin memandangkan sebuah kelompok besar jangkitan Covid-19 telah muncul di Lapangan Terbang Changi bulan lalu hingga menyebabkan Jewel ditutup sebulan.

Namun pelanggan pula berasa keselamatan mereka terjaga dengan adanya langkah pengurusan selamat yang dipertingkat dikuatkuasakan di situ.