SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Hasrat fahami Al-Quran dorong dalami bahasa Arab

Hasrat fahami Al-Quran dorong dalami bahasa Arab

Apakah motivasi yang mendorong warga Singapura mempertingkat ilmu dan kemahiran mereka dalam sektor keagamaan? BERITA HARIAN menemu ramah siswazah yang baru tamat pengajian dan mendapat sijil mereka di konvokesyen Institut Pengajian Al-Zuhri hujung minggu lalu.
Mar 31, 2022 | 5:30 AM

Hasrat fahami Al-Quran dorong dalami bahasa Arab

TIDAK PUTUS ASA: Cik Shafiqah Salil (dua dari kiri) dan Cik Nadzirah Salil mendalami bahasa Arab meskupun berdepan cabaran dalam menguasai bahasa itu. Mereka mendapat sokongan daripada ibu bapa mereka, Cik Zaitun Bee Abdul Rahman dan Encik Salil Mohamed Ali. - Foto ihsan NADZIRAH SALIL
TIDAK PUTUS ASA: Cik Shafiqah Salil (dua dari kiri) dan Cik Nadzirah Salil mendalami bahasa Arab meskupun berdepan cabaran dalam menguasai bahasa itu. Mereka mendapat sokongan daripada ibu bapa mereka, Cik Zaitun Bee Abdul Rahman dan Encik Salil Mohamed Ali. - Foto ihsan NADZIRAH SALIL -

SEPERTI kebanyakan pelajar lain yang belajar di sekolah aliran perdana, Cik Nadzirah Salil dan adiknya, Cik Shafiqah, dimasukkan ke madrasah masjid pada hujung minggu.

Meskipun mereka berminat belajar bahasa Arab, ia tidak diajar di madrasah tersebut.

Namun, minat itu tidak luput dan berputik kembali apabila mereka berpeluang belajar bahasa Arab sebagai bahasa ketiga di Pusat Bahasa Kementerian Pendidikan (MOE).

Peluang itu tidak disesiakan adik-beradik itu hingga mereka lulus mata pelajaran Bahasa Arab dengan gred A1 dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O'.

"Kami mengambil Bahasa Arab dengan harapan dapat memahami dengan lebih mendalam apa yang kami baca daripada Al-Quran," kata Cik Nadzirah, bekas pelajar Sekolah Perempuan Tanjong Katong.

Minat pada bahasa Arab itu terus mekar dan mereka kemudian mengikuti secara sambilan program sijil pengajian bahasa Arab di Institut Al-Zuhri dan kemudian meneruskannya ke diploma pengajian bahasa Arab selama empat tahun.

"Ketika itu kami berdua sedang menuntut di Politeknik Temasek dan mencari pertubuhan yang dapat menawarkan kursus bahasa Arab secara berstruktur.

"Pada waktu itulah ibu saya ternampak iklan di Berita Harian mengenai program yang ditawarkan Al-Zuhri," kata Cik Shafiqah.

Walaupun agak sukar kerana terpaksa mengimbangi masa antara tugasan sekolah dan kursus bahasa Arab itu, semangat mereka tidak pernah luntur.

Malah, mereka menamatkan pengajian bagi kedua-dua kursus itu dengan keputusan cemerlang.

Pasangan itu antara lebih 340 siswazah daripada Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Andalus dan Cordova yang menerima sijil tamat pengajian dalam satu konvokesyen hujung minggu lalu.

Ia juga merupakan acara fizikal terbesar yang dianjurkan institut itu sejak sekatan Covid-19 dilonggarkan.

Mengongsi tentang cabaran yang dihadapi dalam mempelajari sesebuah bahasa, Cik Nadzirah berkata mereka perlu memperkukuh tatabahasa bahasa Arab agar dapat berkomunikasi dan menulis dengan lebih baik.

"Ibu bapa kami membelikan kami beberapa kamus bahasa Arab untuk kami membina kosa kata kami," kata Cik Nadzirah, 26 tahun, yang kini bekerja sebagai seorang akauntan dan belum berumah tangga.

Bagaimanapun, motivasi terbesar untuk mereka ialah guru mereka di Al-Zuhri, Ustaz Ilyas Zakaria. kata Cik Shafiqah, 24 tahun.

"Beliau banyak mengongsi dengan kami ilmu pengetahuan dan pengalamannya dalam bahasa ini.

"Dapat dilihat minatnya dalam bahasa ini dan cara beliau mengajar juga sesuai dengan keperluan pembelajaran pelajar hari ini," ujar beliau, yang sekarang pelajar tahun akhir Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Ditanya apakah nasihat yang boleh diber mereka kepada orang yang ingin belajar bahasa Arab, Cik Nadzirah berkata seperti usaha belajar apa jua bahasa, pembelajaran bahasa Arab adalah satu perjalanan yang tiada titik noktahnya.

"Bersabarlah dalam perjalanan mendalami bahasa, cari guru bagus, dan lengkapi diri dengan sekitaran atau kumpulan masyarakat yang mempunyai minat yang sama agar rasa cinta terhadap bahasa itu akan terus mekar, meskipun pelbagai cabaran datang semasa perjalanan meraih ilmu itu," katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg