Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB beri pampasan kepada pembeli BTO yang lewat siap

May 24, 2022 | 5:30 AM
af14d459-8ca2-4cd2-901c-41379923f764
-

SATU lagi projek Bina Ikut Tempahan (BTO) - Anchorvale Village di Sengkang - telah melebihi tarikh penyiapan yang sah, dan pembeli akan diberi pampasan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Projek itu, yang mempunyai 207 unit di dua buah blok, kini dijangka siap antara Mei dengan Julai pada 2023, lewat kira-kira empat hingga enam bulan dari tarikh pemilikan - tarikh kontrak sah yang HDB perlu menyerahkan kunci.

Menjawab pertanyaan The Straits Times, HDB berkata bahawa semua pembeli akan menerima jumlah pembayaran balik maksimum yang mereka layak, tanpa perlu mengemukakan sebarang tuntutan.

Daripada 207 unit dua bilik fleksi dan juga unit tiga bilik, 200 telah ditempah.

Pembeli boleh menjangka bayaran balik antara $2,270 dan $6,360, berdasarkan anggaran semasa ketangguhan ini, dalam pembayaran sekali kira-kira dua bulan selepas kutipan kunci, kata HDB.

Mereka yang mendapatkan kunci mereka pada Mei 2023 akan mendapat antara $2,270 dan $4,240, manakala mereka yang mendapatkan kunci pada Julai 2023 akan menerima antara $3,400 dan $6,360.

Anchorvale Village pada asalnya dijadualkan siap pada suku pertama tahun ini apabila ia dilancarkan untuk dijual pada November 2017.

Dengan mengambil kira penangguhan baru, ini menjadikan jumlah masa menunggu kepada kira-kira 5.2 tahun, atau kira-kira 62 bulan.

Projek BTO pertama yang melebihi tarikh bagi flat itu diberikan kepada pemilik ialah Waterway Sunrise II di Punggol, yang mempunyai 1,014 unit di tujuh blok, selepas kontraktor utamanya ketika itu menghadapi masalah kewangan dan terpaksa menghentikan operasi.

Wang pembayaran balik untuk pembeli Waterway Sunrise II, yang mempunyai unit dua bilik fleksi, tiga bilik dan empat bilik, diunjurkan antara $700 dengan $10,500, dengan jumlah purata $5,000.

Projek itu dijangka siap enam hingga sembilan bulan selepas tarikh pemilikan penghantarannya pada Mei hingga ke Jun tahun ini.

Daripada 98 projek BTO yang sedang dalam pembinaan, Anchorvale Village dan Waterway Sunrise II adalah dua projek yang mengalami kelewatan lebih daripada satu tahun dan melebihi tarikh pemilikan penghantaran mereka, kata HDB.

Penangguhan bagi kebanyakan projek BTO diberi masa antara enam dengan 12 bulan selepas sokongan dan langkah bantuan pemerintah dilaksanakan, kata HDB.

Ia memberitahu ST bahawa Anchorvale Village menghadapi cabaran ketara yang telah memberi lebih kesan kepada pembinaannya daripada projek-projek BTO lain yang tertunda.

Cabaran dari pandemik juga menjejaskan perkembangannya. Kontraktor utama Ken-Pal baru sahaja memulakan kerja di tempat letak kereta bawah tanah apabila semua kerja pembinaan terpaksa dihentikan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan pada 2020.

Apabila kerja disambung semula, timbul pula masalah kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan serta langkah pengurusan selamat Covid-19 yang ketat di tapak binaan.

Pada Disember 2020, pembeli dimaklumkan tentang penangguhan selama sembilan bulan, dengan penyiapan rumah ditunda ke suku keempat 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg