TIGA daripada sembilan projek flat bina ikut tempahan (BTO) yang akan dilancarkan dalam penjualan bulan ini akan berada di bawah mo-del Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH).

Dua daripadanya - Ulu Pandan Banks dan Ghim MOH Natura - akan dibina di estet matang Queenstown.

Yang ketiga, Kallang Horizon, akan dibina di estet matang Kallang Whampoa.

Menurut Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dalam satu pos Facebooknya semalam, penjualan itu akan bermula pada 23 November dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan melancarkan lebih 9,500 unit.

Pemilik flat tiga projek PLH itu perlu membayar 6 peratus daripada harga jualan semula atau taksiran, bergantung pada yang mana lebih tinggi, kepada HDB apabila menjual semula rumah mereka di pasaran terbuka buat kali pertama.

Ini kerana HDB memberi subsidi tambahan, di samping subsidi yang diberi bagi flat BTO, untuk memastikan flat di kawasan utama itu dimampui.

Selain itu, pembeli flat PLH perlu tinggal di estet tersebut sekurang-kurangnya 10 tahun.

Ini berbanding tempoh penginapan minimum (MOP) lima tahun bagi flat BTO biasa.

Satu lagi projek, Queensway Canopy, yang akan dibina di Queenstown, tidak berada di bawah model PLH.

Ini kerana projek itu terletak lebih jauh dari nod pengangkutan utama dan kemudahan runcit utama, kata Encik Lee.

"Oleh itu, flat-flat ini mempunyai nilai pasaran lebih rendah daripada flat PLH di Ulu Pandan Banks dan Ghim MOH Natura," kata beliau, sambil menambah bahawa penduduk Queensway Canopy masih mempunyai akses kepada kemudahan penting, seperti pasar raya dan pusat makanan.

Encik Lee berkata ketiga-tiga projek PLH itu terletak berdekatan dengan pusat pengangkutan seperti Dover, Buona Vista dan Stesen MRT Kallang, dan mempunyai kemudahan sedia ada.

"Memandangkan lokasi dan ciri-ciri menarik, flat-flat ini secara semula jadi akan mempunyai nilai pasaran lebih tinggi.

"Untuk memastikan projek PLH sebegini dimampui dan mudah diperoleh, kami memberi subsidi tambahan, di samping subsidi besar yang sudah disediakan bagi semua flat BTO," kata beliau.

Ulu Pandan Banks terletak di bahagian timur Hutan Dover dan diwartakan sebagai kawasan kurang penggunaan kenderaan atau car-lite dan akan mempunyai kurang tempat letak kereta. Langkah ini akan membebaskan ruang untuk kemudahan awam.

Ini setelah rancangan menggunakan 33 hektar Hutan Dover untuk perumahan awam disemak tahun lalu berikutan bantahan daripada kumpulan alam semula jadi.

Kira-kira 11 hektar di separuh kawasan timur itu akan dibangunkan untuk perumahan awam, manakala separuh lagi di kawasan barat diketepikan bagi memelihara biodiversiti.

Pada 23 November, projek BTO juga akan dilancarkan di Bukit Batok, Tengah dan Yishun.

Kedua-dua projek di Tengah itu, yang terdiri daripada sejumlah 2,070 unit, akan mencuba reka bentuk flat tanpa rasuk penyangga yang akan memberi penduduk fleksibiliti lebih besar untuk menyusun atur flat mereka.

Terdapat sebuah lagi projek di Bukit Batok dan tiga projek di Yishun.

Pada Februari depan, HDB akan melancarkan kira-kira 2,900 hingga 3,900 unit di estet seperti Kallang Whampoa, Queenstown dan Tengah.