Topik diikuti
Pergi ke BHkuHDB lancar lebih 4,500 flat BTO di Bukit Merah, Queenstown
HDB lancar lebih 4,500 flat BTO di Bukit Merah, Queenstown
HDB lancar lebih 4,500 flat BTO di Bukit Merah, Queenstown
SEBANYAK 4,583 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) - termasuk dua projek di Bukit Merah dan Queenstown di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) - dilancarkan hari ini (27 Mei).
Ini merupakan pelancaran kedua tahun ini dan merangkumi lima projek perumahan di lima estet.
Dalam pada itu, sebanyak 1,952 flat ditawarkan di bawah skim Jualan Baki Flat (SBF) pertama tahun ini.
Secara keseluruhan, sebanyak 6,535 flat baru dilancarkan hari ini.
Kededua projek BTO di Bukit Merah dan Queenstown terangkum di bawah model PLH dengan syarat penjualan dan pembelian yang lebih ketat.
Di estet matang Bukit Merah, projek Bukit Merah Ridge menawarkan 1,669 flat tiga dan empat bilik dalam lima blok setinggi 29 hingga 48 tingkat.
Projek perumahan itu dikelilingi kawasan Henderson, Tiong Bahru dan Lower Delta road.
Penduduk akan datang juga dapat memanfaatkan stesen MRT Redhill dan Tiong Bahru yang berdekatan.
Flat tiga bilik kawasan itu berharga antara $377,000 hingga $509,000 tanpa geran manakala flat empat bilik berharga antara $540,000 hingga $737,000.
Harga tersebut lebih tinggi berbanding flat di bawah projek BTO Rochor yang dilancarkan November lalu, yang juga terangkum di bawah model PLH.
Flat tiga bilik di bawah projek itu berharga sekitar $409,000 manakala flat empat bilik berharga sekitar $582,000.
Pembeli flat Bukit Merah perlu menunggu 60 bulan- sekitar lima tahun- sebelum berpindah masuk ke flat mereka kerana projek tersebut dijangka siap suku pertama 2028.
Sementara itu, sebanyak 867 flat tiga dan empat bilik ditawarkan dalam empat blok di bawah projek Ghim Moh Ascent di estet matang Queenstown.
Projek itu terletak di Ghim Moh Road berdekatan stesen MRT Buona Vista.
Unit tiga bilik berharga antara $369,000 hingga $481,000 manakala unit empat bilik berharga antara $511,000 hingga $691,000.
Pembeli juga perlu menunggu 60 bulan sebelum flat mereka siap pada 2028.
