Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB lancar tapak kondominium eksekutif di Miltonia Close, Yishun untuk dijual

Dec 23, 2025 | 5:20 PM
Tapak yang terletak di Yishun itu merupakan salah satu daripada 10 tapak yang disahkan dalam senarai program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) bagi separuh kedua 2025.
Tapak yang terletak di Yishun itu merupakan salah satu daripada 10 tapak yang disahkan dalam senarai program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) bagi separuh kedua 2025. - Foto fail

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan tapak kondominium eksekutif (EC) di Miltonia Close pada 23 Disember, untuk dijual melalui tender awam.

Tapak yang terletak di Yishun itu boleh memuatkan sekitar 430 unit rumah. 

Ia merupakan salah satu daripada 10 tapak yang disahkan dalam senarai program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) bagi separuh kedua 2025.

Tapak dengan tempoh pajakan selama 99 tahun itu mempunyai keluasan 15,451.2 meter persegi (m²) dengan keluasan lantai kasar 43,264 m².

Manakala, ketinggian maksimum bangunan ialah 90 meter, lapor The Straits Times (ST).

Menurut pegawai eksekutif utama ERA Singapura, Encik Eugene Lim, tapak tersebut, terletak bersebelahan dengan Orchid Country Club (OCC), merupakan kawasan lebih tenang di kejiranan Yishun, dan menawarkan pemandangan Kolam Air Lower Seletar. 

Dengan tempoh pajakan tapak kelab akan tamat pada 2030, kawasan itu dirancang untuk pembangunan perumahan, tertakluk kepada perancangan terperinci.

“Transformasi akan datang ini akan menambah bilangan perumahan dan kemudahan, bagi memberi khidmat lebih baik kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Para pemaju mungkin akan mempunyai lebih banyak pilihan pada masa akan datang kerana bekalan rumah awam dan privet yang bertambah, kata timbalan ketua eksekutif kumpulan Realion (OrangeTee & ETC), Encik Justin Quek.

Kedua-dua Encik Lim dan Encik Quek menyatakan bahawa minat terhadap tapak tersebut mungkin dipengaruhi oleh jaraknya dengan stesen MRT terdekat.

Tapak itu terletak kira-kira enam hentian bas dari stesen MRT Khatib dan dalam jarak berjalan kaki ke beberapa gerai makanan.

“Kami menjangkakan dua hingga empat bidaan untuk tapak ini, dengan kadar tanah tertinggi antara $650 dengan $750 bagi setiap kaki persegi bagi setiap nisbah plot (psf ppr),” kata Encik Quek.

Encik Quek turut menyatakan bahawa beberapa sekolah terletak dalam radius 2 kilometer dari tapak tersebut, yang boleh meningkatkan tarikan bagi keluarga dengan anak yang bersekolah.

Pelancaran tapak EC di Miltonia Close itu dibuat ketika kawasan Yishun sedang mengalami transformasi ketara. 

Ini termasuk pembangunan kawasan perumahan baru Chencharu serta rancangan untuk mengubah guna Kawasan Perindustrian Yishun di sepanjang tepi sungai, kata Encik Lim.

Peningkatan sebegini dijangka “meningkatkan permintaan dan minat terhadap perumahan di Yishun”, tambahnya.

Miltonia Close merupakan satu-satunya tapak EC di Yishun, meskipun terdapat beberapa projek EC lain di utara Singapura.

“Pelancaran EC terakhir di kawasan ini ialah The Criterion pada 2015. Maka, sudah hampir 10 tahun sejak tapak EC baru ditawarkan di kawasan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huttons Asia, Encik Mark Yip.

Dengan faktor tarikan tapak dan pembangunan kawasan sekitar, Encik Lim menjangkakan bidaan tanah akan melebihi $700 setiap psf ppr.

Pembeli yang tinggal di utara Singapura masih mempunyai beberapa pilihan lain pada 2027, dengan dua projek EC di Woodlands Drive 17 dan satu projek EC di sepanjang Sembawang Road, kata Encik Yip. 

“Bidaan untuk tapak Miltonia Close mungkin lebih terkawal,” tambah Encik Yip.

Menurut Encik Yip, tapak EC itu boleh menarik tiga hingga enam bidaan, dengan bidaan tertinggi dijangka antara $680 dan $730 setiap psf ppr.

Tender akan ditutup pada 12 tengah hari, 14 April 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg