Topik diikuti
Pergi ke BHkuHDB perjelas BTO di tapak Keppel Club
HDB perjelas BTO di tapak Keppel Club
MODEL Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) akan digunakan bagi projek perumahan awam terpilih di lokasi utama dan pusat, seperti pusat bandar dan kawasan sekitarnya, termasuk Greater Southern Waterfront, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Agensi itu berkata demikian kelmarin apabila ditanya sama ada projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di tapak Keppel Club yang akan dibina kelak akan diletakkan di bawah model PLH yang diumumkan tahun lalu.
Kelmarin, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan sekitar 6,000 unit flat HDB akan dibina di tapak Keppel Club, yang kini sebuah padang golf, dengan projek BTO yang pertama akan dilancar dalam tempoh tiga tahun akan datang.
HDB berkata meskipun tapak Keppel Club itu berada dalam kawasan Greater Southern Waterfront, pihak berkuasa akan mempertimbangkan beberapa faktor - seperti lokasi, ciri-ciri dan nilai pasaran projek - sebelum memutuskan sama ada mahu menggunakan model PLH, lapor The Straits Times.
Di bawah model PLH, pemilik flat tertakluk kepada syarat membeli dan menjual lebih ketat, termasuk tempoh penginapan minimum (MOP) 10 tahun dan subsidi tambahan ditarik balik oleh pemerintah sekiranya mereka menjual unit tersebut.
Skim itu bertujuan memastikan perumahan awam di lokasi utama boleh dimampui, boleh diakses dan inklusif bagi rakyat Singapura, baik pada pembelian awal dan pada penjualan semula berikutnya di pasaran terbuka.
HDB menyediakan subsidi tambahan di samping subsidi sedia ada yang disediakan bagi flat BTO lain demi memastikan flat di bawah model PLH dilancar pada harga dimampui.
Namun, terdapat keprihatinan sama ada ini akan membawa kepada kesan loteri (berlaku apabila harga penjualan jauh lebih tinggi daripada apa yang dibayar pada mulanya) dan keuntungan durian runtuh yang berlebihan apabila pemilik menjual flat di pasaran terbuka.
Untuk menangani keprihatinan itu, HDB akan menarik balik subsidi tambahan sebagai peratusan daripada harga jualan semula, juga dikenali sebagai "pemulihan subsidi", apabila pemilik menjual unit tersebut. Ini dikenakan hanya kepada penjualan semula kali pertama, dan bukan untuk urus niaga penjualan semula berikutnya.
Mereka yang mahu membeli flat HDB di lokasi utama di pasaran penjualan semula juga perlu memenuhi syarat kelayakan semasa bagi membeli flat baru secara langsung dari HDB.
Ini termasuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemohon rakyat Singapura dan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi $14,000. Pembeli juga mesti tidak memiliki atau mempunyai kepentingan dalam hartanah privet dan tidak melupuskan apa-apa hartanah privet dalam tempoh 30 bulan yang lalu.
Sementara itu, MOP bagi flat di bawah model PLH juga akan dilanjutkan kepada 10 tahun, daripada lima tahun bagi semua flat HDB lain.
Pemilik flat juga tidak akan dibenarkan menyewakan seluruh unit mereka pada bila-bila masa, walaupun selepas MOP tamat. Mereka akan dibenarkan menyewakan hanya bilik kosong sahaja.
Kedua-dua syarat dikenakan kepada mereka yang membeli secara langsung dari HDB dan juga pembeli berikutnya di pasaran penjualan semula.