Hello Kitty di Gardens by the Bay
DENGAN cuti sekolah Mac bakal tiba dan pelancongan ke luar negara disekat disebabkan pandemik Covid-19, Gardens by the Bay membawa suasana Jepun ke Singapura.
Pameran bunga sakura yang popular kini kembali, dan kali ini turut menampilkan Hello Kitty.
Mulai semalam, pengunjung ke Flower Dome dapat melihat Hello Kitty, ikon antarabangsa Jepun sambil menikmati pameran bunga sakura.
Pameran itu dilancarkan Duta Jepun ke Singapura, Encik Jun Yamazaki, dan Duta Kelana, Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura, Profesor Tommy Koh.
Ketua Pegawai Eksekutif Gardens by the Bay, Encik Felix Loh berkata ramai di antara warga Singapura tidak sabar untuk melancong lagi dan bunga sakura mekar di Jepun merupakan antara destinasi pilihan.
"Justeru, walau dengan isu logistik, pasukan Gardens tetap mahu mendekati rakan luar negara kami untuk membawa pameran yang sangat dicintai ini kepada warga Singapura."
Keselamatan terus menjadi keutamaan, menurut kenyataan Gardens by the Bay.
Justeru dalam merancang pameran bunga sakura, ia mengambil kira langkah menjarakkan tempat pemandangan indah dan bunga, memberikan ruang kepada pengunjung menjaga jarak selamat antara satu sama lain.

