Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hingga 150,000 jemaah dapat laksana solat Aidilfitri: Muis

Perlu buat tempahan mulai 28 Apr; 15 masjid jalankan hingga 3 sesi solat
Apr 23, 2022 | 5:30 AM
LEBIH BANYAK TEMPAT: Dr Albakri Ahmad berkata setiap masjid akan menawarkan sekurang-kurangnya dua sesi solat Aidilfitri, dengan 15 masjid yang mempunyai bilangan jemaah lebih ramai, akan menawarkan sehingga sesi ketiga. - Foto BH oleh KUA CHEE SIONG
LEBIH BANYAK TEMPAT: Dr Albakri Ahmad berkata setiap masjid akan menawarkan sekurang-kurangnya dua sesi solat Aidilfitri, dengan 15 masjid yang mempunyai bilangan jemaah lebih ramai, akan menawarkan sehingga sesi ketiga. - Foto BH oleh KUA CHEE SIONG -

SEKITAR 150,000 jemaah dijangka dapat melaksanakan solat Aidilfitri tahun ini sedang masjid menawarkan lebih banyak ruang sembahyang, dengan beberapa masjid yang mempunyai bilangan jemaah lebih ramai melakukan sehingga tiga sesi.

Seperti tahun lalu, tempahan perlu dibuat bagi solat Aidilfitri, yang akan dibuka kepada jemaah pada 10 pagi, 28 April ini.

Setiap masjid akan menawarkan sekurang-kurangnya dua sesi solat - sesi pertama bermula pada 7.30 pagi hingga 8.15 pagi manakala sesi kedua 8.45 pagi hingga 9.30 pagi.

Bagi 15 masjid yang dijangka akan mempunyai bilangan jemaah lebih besar, sesi ketiga akan diadakan dari 10 pagi hingga 10.45 pagi.

Namun, tiada tempahan diperlukan kerana bilangannya agak kecil.

Masa setengah jam dari satu sesi ke satu sesi yang lain adalah bagi memudahkan pihak masjid menjalankan tugas sanitasi.

Secara keseluruhan, 66 masjid akan menawarkan sejumlah 153,250 ruang solat Aidilfitri tahun ini, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Tahun ini, bilangan jemaah yang dapat menunaikan solat Aidilfitri merupakan yang terbesar sejak bermulanya pandemik Covid-19, di mana tiada solat Hari Raya dijalankan.

Tahun lalu, meski terdapat kelonggaran, bilangan jemaah yang dibolehkan solat Hari Raya di masjid agak terhad.

Bercakap kepada wartawan di Masjid Jamiyah Ar-Rabitah semalam, Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad, berkata dengan ruang tambahan itu, beliau berharap masyarakat akan hadir ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri mereka.

"Kami berharap masyarakat yang hadir akan dapat pengalaman yang bermakna untuk melakukan solat Aidilfitri dan memastikan mereka mematuhi langkah keselamatan seperti membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup setiap masa," katanya.

Ditanya mengapa solat Aidilfitri tidak boleh dilakukan di kolong blok atau di ruang terbuka seperti stadium sebagaimana yang dilakukan pra-Covid-19, Dr Albakri berkata ruang solat yang disediakan tahun ini di masjid sudah mencukupi.

"Ada masjid juga menawarkan sesi ketiga dan ini mencukupi. Di kolong blok misalnya, memerlukan tenaga pekerja untuk memastikan langkah keselamatan dilaksanakan.

"Justeru buat masa ini, kami tiadakan solat Aidilfitri di kolong blok dan sebagainya," tambahnya.

Beliau turut berkata, mereka yang tidak dapat ke masjid masih boleh menyaksikan siaran secara langsung dan mendengar khutbah Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir di SalamSG TV di Youtube.

Jemaah, Encik Buang Marzuki, 75 tahun, yang sering menjadi relawan di Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, berkata beliau mengalu-alukan kelonggaran yang membenarkan lebih ramai jemaah hadir ke masjid bagi solat Aidilfitri.

"Sudah dua tahun kami berdepan dengan pandemik yang menghambat kita daripada solat Aidilfitri di masjid. Alhamdulillah tahun ini, mungkin akan lebih terasa dan bermakna solat Aidilfitri," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg