BEBERAPA kedai makanan dan minuman (F&B) mengalami pembatalan tempahan sambutan Hari Ibu hujung minggu ini hingga 60 peratus disebabkan langkah pengurusan selamat Covid-19 diperketat.
Namun, khidmat penghantaran meningkat bagi sesetengah perniagaan F&B kerana ramai pelanggan yang kini tidak dapat menjamu selera dalam jumlah besar di premis menyambutnya di rumah dan menempah makanan.
Dari hari ini hingga 30 Mei, hanya lima orang boleh berkumpul dalam sesebuah perhimpunan sosial, berbanding lapan sebelum ini.
Sekatan serupa dikenakan terhadap isi rumah, yang dibenarkan menerima hanya lima pengunjung berbeza sehari.
Langkah lain termasuk penutupan tempat berisiko tinggi seperti gim dan studio kesihatan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Landmark, Encik Ali Abbas, berkata ramai pelanggan membatalkan tempahan mereka pada saat-saat terakhir.
"Sebahagian besar tempahan pelanggan ialah bagi lapan orang untuk jamuan Hari Ibu. Jadi oleh kerana jumlah yang dibenarkan telah diturunkan kepada lima orang, ramai membatalkan tempahan.
"Secara keseluruhan, sekitar 20 hingga 25 peratus tempahan dibatalkan," ujar beliau, yang menguruskan restoran The Landmark di Village Hotel Bugis dan Royal Palm@Orchid Country Club (OCC).
Namun, Encik Ali berkata lebih ramai pelanggannya memilih menyambut Hari Ibu di rumah dan tempahan penghantaran makanan dari restorannya bagi set menu keluarga meningkat sekitar 25 peratus.
"Dengan sekatan baru ini, kami lebih bersedia mempromosikan penghantaran makanan ke rumah, terutama bagi keluarga besar.
"Jadi, kami telah menggiatkan pemasaran di media sosial dan menambah bajet untuk khidmat penghantaran," ujarnya.
Ketua Pegawai Operasi The Black Hole Group, Encik Sufi Hassan, yang menguruskan rangkaian kafe seperti Afterwit dan The Mad Sailor, melaporkan 60 peratus tempahan dibatalkan.
Pemilik Aroma Kampung, Cik Siti Khadijah Mukhit, pula berkata 50 peratus tempahan dibatalkan.
"Kebanyakan pelanggan kami menempah untuk lapan orang semeja. Ramai tidak mahu menyesuaikan jumlah itu, lantas mereka membatalkan tempahan sahaja.
"Memang ini sesuatu yang amat mencabar dan memberi tekanan bagi peniaga seperti saya," tambahnya.
Sementara itu, pemilik I Am Cafe, Encik Jamuri Busori, berkata walaupun kafenya tidak begitu terjejas kerana majoriti pelanggannya menempah bagi kurang lapan orang, beliau prihatin tentang minggu-minggu mendatang.
"Selepas sambutan seperti Hari Ibu, saya boleh ramalkan perniagaan terjejas dan merosot sekurang-kurangnya 20 peratus.
"Misalnya, meja yang boleh diduduki enam orang kini boleh diisi lima orang sahaja, jadi setiap meja kami kehilangan satu pelanggan. Ditambah ketiadaan pelanggan pekerja pejabat, keadaan akan menjadi lebih mencabar untuk kami.
"Jadi, kami akan lebih giat dalam pemasaran dalam talian kami. Sejauh ini, kami dapati usaha dalam talian telah banyak membantu," kata Encik Jamuri.
Pendekatan serupa diambil oleh pengasas bersama Le Fuse Cafe, Cik Noraini Esa, yang juga mengalami beberapa pembatalan tempahan.
"Kami kini lebih aktif memasarkan khidmat penghantaran ke rumah bagi hujung minggu ini.
"Masih agak lembab sekarang, tetapi kami menjangka tempahan bagi khidmat ini akan lebih ketara pada Hari Ibu sendiri," tambah beliau.
"Sebahagian besar tempahan pelanggan ialah bagi lapan orang untuk jamuan Hari Ibu. Jadi oleh kerana jumlah yang dibenarkan telah diturunkan kepada lima orang, ramai membatalkan tempahan. Secara keseluruhan, sekitar 20 hingga 25 peratus tempahan dibatalkan. Dengan sekatan baru ini, kami lebih bersedia mempromosikan penghantaran makanan ke rumah, terutama bagi keluarga besar. Jadi, kami telah menggiatkan pemasaran di media sosial dan menambah bajet untuk khidmat penghantaran." - Encik Ali Abbas, CEO The Landmark, menguruskan restoran The Landmark di Village Hotel Bugis dan Royal Palm@Orchid Country Club (OCC).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg