HOME Team sedang mengubah keupayaannya supaya ia boleh terus bertindak balas kepada pelbagai ancaman, termasuk serangan pengganas.
Latihan realistik merupakan satu cara untuk mencapai demikian, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo.
Justeru, Cik Teo berkata bulan depan, Home Team akan jalankan latihan besar-besaran, Exercise Northstar XI, yang akan menguji tindak balas berbilang agensi terhadap serangan pengganas di Jurong Island.
Latihan tersebut akan menghimpunkan lebih 300 peserta daripada agensi seperti Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Pasukan Polis Singapura (SPF), Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), JTC dan rakan sektor privet.
Ini merupakan "peluang berharga" untuk mengesahkan keupayaan dan tindak balas antara agensi dalam suasana realistik, kata Cik Teo sewaktu perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen pada Isnin.
Encik Murali Pillai (SMC Bukit Batok) telah bertanya tentang pelajaran yang telah diraih Kementerian Dalam Negeri (MHA) daripada perjalanan transformasinya.
Cik Teo berkata selain menggunakan lebih banyak teknologi, perlu juga kementeriannya untuk memperkemas proses, melatih pegawai dengan kemahiran relevan, dan menjadikan rakan sebagai sebahagian daripada transformasi.
"Home Team mengubah keupayaannya supaya ia boleh terus bertindak balas secara berkesan kepada pelbagai ancaman. Ada daripadanya, seperti serangan pengganas, kita harap kita tidak pernah akan perlu bertindak balas kepadanya.
"Bagaimanapun, kita perlu bersiap sedia, dan latihan realistik adalah satu cara bagi kita mencapai demikian," ujarnya.
Cik Teo turut menekankan pentingnya kerjasama bagi Home Team.
Beliau berkata aplikasi myResponder SCDF adalah penting dalam membantu mengaktifkan Responder Pertama Masyarakat (CFR), yang merupakan anggota awam, agar memberi bantuan segera sebelum pegawai MHA tiba.
Kini, terdapat lebih 130,000 CFR dan dari 2015 hingga Januari tahun ini, mereka telah bertindak balas kepada lebih 3,000 kes kebakaran kecil, 6,000 kes serangan jantung yang disyaki, dan menyelamatkan lebih 40 nyawa.
Untuk melengkapi CFR dalam bertindak balas kepada kebakaran kecil dengan lebih baik, Cik Teo berkata SCDF akan memulakan percubaan baru dengan meletakkan satu alat pemadam api di tingkat bawah setiap dua blok HDB.
Apabila dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun, ini akan memberi manfaat kepada 1.1 juta isi rumah HDB, tambahnya.
Dalam menangani keadaan tenaga kerja yang mencabar, Cik Teo berkata MHA telah mereka semula latihannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg