HCA Hospice Care (HCA), penyedia penjagaan paliatif masyarakat terbesar di Singapura, telah membuka hospis penjagaan siangnya yang ketiga di Outram secara rasmi semalam.

Ini bermakna ia kini menawarkan lebih daripada 60 peratus kapasiti hospis penjagaan siang di Singapura melalui tiga pusatnya, membolehkan pesakit untuk kekal dijaga dalam masyarakat.

Dibangunkan dengan hadiah $2.47 juta oleh Yayasan Lien, Oasis@Outram boleh berkhidmat kepada hingga 48 pesakit paliatif pada kapasiti maksimum.

Oasis@Outram terletak dalam Hospital Masyarakat Outram baru, yang juga menyediakan khidmat paliatif untuk pesakitnya.

"Lokasi bersama ini membolehkan kedua-dua pasukan HCA dan Hospital Masyarakat Outram untuk menjalin perkongsian yang lebih erat dan menyediakan rangkaian penjagaan yang lebih lancar untuk pesakit penjagaan paliatif yang berpindah dari hospital ke rumah," kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dalam ucapannya di majlis pembukaan rasmi hospis itu semalam.

Majlis pembukaan itu sepatutnya diadakan Januari lalu, tetapi ditunda disebabkan oleh sekatan ketat semasa gelombang Omicron pada waktu itu.

Selain berkhidmat kepada warga emas, Oasis@Outram juga memberi perkhidmatan kepada pesakit muda yang menghadapi keadaan yang mengehadkan kehidupan daripada program Star PALS (Sokongan Hidup Lanjutan Pediatrik).

Ia menyediakan kemudahan khusus dan ruang selamat untuk pesakit muda dan penjaga mereka.

Terdapat juga sudut permainan yang selesa dan pengangkat mekanikal untuk mengangkat kanak-kanak itu bagi melegakan penjaga mereka daripada tekanan fizikal.

Di Oasis@Outram, pesakit boleh memilih melakukan pelbagai kegiatan yang ditawarkan, seperti sesi seni dan kraf, atau mengambil bahagian dalam nyanyian dan terapi muzik.

Dengan kemudahan seperti bar terbuka, ruang spa dan salun untuk khidmat rias kuku, urutan dan gunting rambut, serta program yang diterajui masyarakat, HCA dan Yayasan Lien berharap untuk merangka semula peringkat akhir hayat di Singapura dan antarabangsa sebagai satu tempoh positif, perkembangan peribadi, dan sokongan masyarakat.

Encik Ong berkata memperbaiki penjagaan akhir hayat adalah salah satu keutamaan kementeriannya dalam beberapa tahun akan datang.

"Kami berhasrat untuk mengukuhkan penjagaan akhir hayat, bagi membantu orang ramai mengekalkan mutu hidup walaupun pada hari-hari terakhir mereka, dan pergi dengan baik. Ini akan membantu orang yang kita sayangi memenuhi hasrat terakhir mereka," kata Encik Ong.

Untuk melakukan demikian, beliau berkata kesedaran perlu ditingkatkan tentang penjagaan akhir hayat dan praperancangan, membuat rujukan yang lebih tepat pada masanya kepada penjagaan paliatif, melancarkan pengeluaran dari hospital dan meningkatkan sokongan penjaga.

"Hospis penjagaan siang, seperti Oasis@Outram, memainkan peranan penting dalam usaha ini. Visi kami adalah semua individu akan dapat mengakses dan menerima penjagaan akhir hayat bermutu yang sesuai, yang membolehkan mereka meluangkan hari-hari terakhir mereka dalam persekitaran selesa pilihan mereka, dikelilingi oleh orang tersayang," kata Encik Ong.