Hospital Alexandra tutup wad selepas kakitangan positif Covid-19
Hospital Alexandra tutup wad selepas kakitangan positif Covid-19
SEBUAH wad di Hospital Alexandra akan ditutup buat pengunjung hingga satu masa yang akan ditetapkan kelak selepas seorang kakitangannya diuji positif Covid-19.
Wanita berusia 24 tahun itu adalah antara empat kes jangkitan Covid-19 baru yang tiada kaitan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (19 Mei).
Dalam satu lampiran pos Facebook pada Khamis (20 Mei), Hospital Alexandra berkata, wanita Singapura itu menyediakan jagaan kejururawatan asas di wad yang terjejas.
Ia menambah kakitangan berkenaan patuh pada panduan penggunaan peralatan perlindungan peribadi.
Memandangkan proses jejak kontak dan ujian swab kontak rapat sedang dijalankan, pengunjung tidak dibenarkan datang ke wad itu.
Pihak hospital juga telah menjalankan proses penyahjangkitan ke atas semua kawasan yang pernah dijejaki penolong jagaan asas itu.
Pada Isnin (17 Mei), kakitangan itu dikatakan pulang daripada cuti 10 hari di dalam negara.
Pada pagi itu juga, beliau menjalani ujian pemantauan dan tidak menampakkan tanda jangkitan. Bagaimanapun, beliau mula batuk beberapa jam selepas itu.
Ujian pada Selasa awalnya payah dirumuskan tetapi beliau serta-merta diasingkan.
Ujian susulan pada hari kedua pula menunjukkan beliau positif Covid-19.
Penolong jagaan asas itu kini dijaga di bilik pengasingan di hospital itu dan didapati sihat, kata hospital itu lagi.
"Kami seikhlasnya meminta maaf jika timbul sebarang kesulitan...Kami akan memberi maklum balas terkini dan menyokong kesejahteraan pesakit dan keluarga mereka," tambah hospital itu.

