Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hospital Mount Elizabeth jalani kerja ubah elok

Jan 4, 2023 | 5:30 AM
KERJA UBAH ELOK: Lakaran artis bagi lobi utama baru Hospital Mount Elizabeth yang bakal dibina. - Foto PARKWAY LIFE REIT
KERJA UBAH ELOK: Lakaran artis bagi lobi utama baru Hospital Mount Elizabeth yang bakal dibina. - Foto PARKWAY LIFE REIT -

HOSPITAL Mount Elizabeth (MEH), sebuah kemudahan penjagaan kesihatan swasta yang dibuka dekat Orchard Road pada 1979, akan menjalani kerja ubah elok besar pertamanya, selain menambah 50 peratus lagi bilik satu katil untuk memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa yang kukuh, kata pemilik hospital tersebut, IHH Healthcare Singapore, semalam.

MEH, salah satu daripada empat hospital di bawah IHH Healthcare Singapore, kini mempunyai 345 katil, termasuk 112 katil dalam bilik satu katil.

Ia akan menambah lagi 56 bilik satu katil dan mengeluarkan semua bilik dua katil, menjadikan kapasiti keseluruhan sebanyak 246 katil, lapor The Straits Times.

MEH telah mengadakan acara pecah dinding bagi menandakan permulaan projek ubah suai bernilai $350 juta semalam.

Projek itu, yang dinamakan 'Renaissance' akan mengambil masa tiga tahun untuk selesai. Sebahagian daripada projek itu akan dibiayai oleh Parkway Life Reit, kata IHH Healthcare Singapore.

Kerja ubah elok akan dilakukan secara bertahap supaya perkhidmatan klinikal utama dapat diteruskan.

Untuk mengurangkan gangguan, perkhidmatan mungkin dipindahkan buat sementara ke bahagian lain bangunan atau, jika perlu, disalurkan ke hospital saudara MEH di bawah IHH Healthcare Singapura, tambahnya.

Manakala kerja ubah suai yang bising pula akan dihadkan kepada masa tertentu.

Perbincangan mengenai projek pengubahsuaian bermula pada 2017, tetapi ia ditangguhkan kerana Covid-19, kata ketua eksekutif MEH, Encik Yong Yih Ming, semasa majlis pecah dinding semalam.

Katanya, lebih banyak bilik satu katil ditambah kerana terdapat permintaan yang tinggi bagi bilik tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Rakyat Singapura mempunyai rancangan kewangan mereka, dan mereka mempunyai tanggungan, jadi mereka mampu bayar untuk bilik satu katil, sedangkan pada masa lalu, bilik empat katil dan dua katil merupakan permintaan yang lebih tinggi," kata Encik Yong.

"Terdapat keperluan yang lebih kurang bagi bilik dua atau empat katil dari semasa ke semasa kerana sebahagian daripada (bilik) ini boleh disediakan di hospital pemerintah.

"Jadi kami juga sedang berkembang... untuk memberikan privasi dan jenis pengalaman yang diingini oleh pesakit kami," jelasnya.

Sebelum wabak Covid-19, kira-kira 30 hingga 40 peratus pesakit MEH datang dari luar negara, kata Encik Yong.

Jumlah ini kini berada pada paras 20 peratus, tetapi MEH menjangkakan ia akan meningkat.

Dalam projek ini, kawasan MEH yang berhadapan dengan orang ramai akan diperbaharui.

Selain itu, terdapat tempat turun penumpang atau 'drop-off' dan lobi baru.

Di samping peningkatan peralatan dan teknologi, penambahbaikan prasarana yang ketara akan dibuat pada sistem perlindungan mekanikal, elektrik dan kebakaran dengan mematuhi kod bangunan terkini dan peraturan keselamatan kebakaran, tambah Encik Yong.

"Lebih penting lagi, aset klinikal dan ruang belakang hospital akan direka bentuk semula dengan ketara mengikut keperluan pesakit dan kakitangan kami, sambil memastikan sambungan, keselamatan dan privasi yang lebih baik," katanya.

"Peluasan jabatan kecemasan dan banyak pusat rawatan pesakit kami dalam dan luar, serta menaik taraf konfigurasi wad kami, akan dilakukan untuk aliran kerja yang lebih baik, keselesaan dan pengalaman keseluruhan pesakit," tambahnya.

Projek 'Renaissance' juga akan melancarkan Pelan Induk Kampus MEH, di mana perkhidmatan penjagaan kesihatan tertentu akan dipindahkan ke bangunan bersebelahan.

Sebagai contoh, Pusat Kesuburan Mount Elizabeth, Pusat Hematologi dan Pusat Pemindahan Sel Stem akan dipindahkan ke The Heeren pada suku kedua tahun ini.

Pusat-pusat ini biasanya memerlukan sokongan klinikal yang lebih kurang daripada hospital dan boleh dipindahkan bagi membolehkan penyatuan dan pengembangan perkhidmatan klinikal berasaskan hospital pesakit dalam.

Encik Yong menambah bahawa ini akan membolehkan pesakit mendapatkan rawatan dalam keadaan bukan hospital.

"Selama lebih 40 tahun, Hospital Mount Elizabeth telah menyediakan penjagaan terbaik kepada pesakit kami.

"Projek 'Renaissance' bertujuan untuk memastikan kami berada pada kedudukan yang baik untuk terus menyediakan tahap penjagaan ini, dengan kemudahan terkini dan perkhidmatan yang diperluaskan sebaik sahaja pengubahsuaian selesai," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IHH Healthcare Singapore, Dr Prem Kumar Nair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg