HOTEL Village Sentosa akan disenaraikan sebagai salah sebuah kemudahan jagaan masyarakat Kementerian Kesihatan (MOH) yang dikhaskan bagi mereka yang mengalami Covid-19 namun hanya mengalami simptom ringan atau tidak mengalami sebarang simptom.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kemudahan khas itu kepada enam, termasuk D'Resort NTUC, Tuas South, bekas tapak Institut Pendidikan Teknikal Ang Mo Kio, Kelab Perkhidmatan Awam di Loyang dan Hospital Bright Vision.

Village Hotel Sentosa, yang mempunyai sebanyak 606 bilik, dibuka secara rasmi pada 1 April 2019 di bawah rangkaian Far East Hospitality.

Dengan tambahan itu, enam kemudahan penjagaan yang dikendalikan MOH kini boleh menempatkan sebanyak 5,000 individu, menurut jurucakap.

Menurut pihak berkuasa, tiga kemudahan penjagaan awal - D'Resort, Tuas South dan Hospital Bright Vision - kini digunakan; sementara dua lagi, di bekas tapak ITE Ang Mo Kio dan Kelab Perkhidmatan Awam di Loyang, telah dibuka.

Kesemua kemudahan itu boleh menempatkan sebanyak 4,100 pesakit.

Di parlimen Isnin lalu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata individu berusia antara 45 hingga 59 tahun yang sudah menerima kededua dos vaksin dan dijangkiti Covid-19 tanpa sebarang simptom atau mengalami simptom ringan, akan ditempatkan di kemudahan tersebut sebelum ke hospital.

Ini sudah pun dilakukan bagi pesakit berusia 17 hingga 45 tahun.

Tambah Encik Ong, sementara Singapura mula bersiap sedia menerima Covid-19 sebagai satu endemik, langkah tersebut dapat membantu mengurangkan pesakit yang perlu dimasukkan ke hospital dan dan tumpuan dapat diberikan kepada mereka yang mengalami simptom lebih teruk.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti