PENGUASA Sains Kesihatan (HSA) telah memberikan amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan dua produk kesihatan yang boleh menyebabkan masalah kesihatan.
Dalam kenyataannya semalam, HSA berkata dua produk itu, 'Lung Tan Tsao' dan 'Candy B+ Coffee Extra Power' mengandungi bahan perubatan yang kuat dan dilarang.
Menurut HSA, kedua-dua produk ini yang belum dipasarkan di Singapura, boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius setelah diuji mengandungi bahan ubat kuat termasuk steroid, antihistamin dan kandungan tinggi ubat bagi masalah ereksi.
Produk Lung tan Tsao telah dilabel mampu merawat pelbagai masalah kesihatan termasuk ekzema, alergi dan kesakitan. Itu juga diberi label palsu untuk mengandung pelbagai jenis ramuan semula jadi.
HSA telah menguji dan mengesan beberapa bahan perubatan dalam produk itu seperti chlorpheniramine (antihistamin) dan dexamethasone (steroid).
Ini semua bahan kuat yang boleh mendatangkan kesan buruk jika digunakan tanpa pengawasan perubatan.
Bagi produk 'Candy B+ Coffee Extra Power' pula ia juga dilabel sebagai jenis perubatan 'superfood' dan 'fountain of youth', mengandungi ramuan herba terkenal seperti ekstrak tongkat ali, ekstrak buah biji mahogani dikenali sebagai buah tunjuk langit dan serbuk maca.
Bagaimanapun setelah menjalani ujian, HSA mendapati produk tersebut mengandungi lebih 50 kali ganda kandungan biasa tadalafil, ubat bagi mengatasi masalah mati pucuk.
"Bila digunakan tanpa pengawasan pakar perubatan, tadalafil dapat meningkatkan risiko strok dan serangan jantung," kata HSA.
HSA menasihati sesiapa yang telah mengambil produk Lung Tan Tsao untuk pergi ke doktor kerana dua produk itu mengandungi steroid yang kuat.
Bagi mereka yang mengambil 'Candy B+ Coffee Extra Power' pula, mereka harus berhenti dengan segera dan pergi ke doktor jika mereka rasa kurang sihat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg