Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HSA beri amaran elak guna krim selepas pengguna alami reaksi kulit

Aug 26, 2024 | 3:46 PM
Ujian Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendedahkan bahawa krim, ‘Touch Skin by Dermacare Skin Relief Treatment’, mengandungi sejenis steroid berbahaya iaitu ‘betamethasone valerate’, yang harus digunakan di bawah pengawasan doktor.
Ujian Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendedahkan bahawa krim, ‘Touch Skin by Dermacare Skin Relief Treatment’, mengandungi sejenis steroid berbahaya iaitu ‘betamethasone valerate’, yang harus digunakan di bawah pengawasan doktor. - Foto HSA

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membeli atau menggunakan krim, ‘Touch Skin by Dermacare Skin Relief Treatment’, yang menyebabkan seorang wanita berusia 50-an tahun mengalami reaksi kulit yang teruk selepas menggunakannya, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 26 Ogos.

Krim itu dikatakan dapat meredakan ekzema, cacar air dan gigitan serangga, tetapi ujian HSA mendedahkan ia mengandungi sejenis steroid berbahaya iaitu betamethasone valerate, yang harus digunakan di bawah pengawasan perubatan.

Wanita itu telah menggunakan krim tersebut selama sekitar lapan tahun untuk kulit mukanya yang sensitif, dan keadaan kulitnya akan menjadi teruk secara tiba-tiba apabila beliau berhenti menggunakannya.

Beliau telah membeli krim itu dari sebuah kedai di Orchard Road dan terus membeli daripada penjualnya menerusi WhatsApp selepas kedai itu ditutup pada 2020.

Pada Mei 2024, wanita itu ternampak nasihat yang dikeluarkan HSA yang memberi amaran mengenai produk serupa yang didapati mengandungi steroid dan dijual di laman web touchskin.com.sg.

Beliau kemudian terus berhenti menggunakan krim tersebut.

Akibatnya, kulit muka beliau menjadi merah, sensitif dan gatal dua hari selepas itu, menyebabkan beliau berjumpa doktor.

Doktor itu mendapati kulit wanita tersebut mengalami radang yang teruk, sensitif kepada cahaya matahari, serta menipis disebabkan telangiectasia, lantas melaporkan perkara itu kepada HSA.

Hasil siasatan mendedahkan bahawa krim itu mengandungi betamethasone valerate, sejenis steroid berbahaya yang biasanya diberi untuk merawat radang dan harus digunakan di bawah pengawasan perubatan.

Siasatan berterusan juga mendedahkan bahawa ‘Touch Skin by Dermacare’ dan krim ‘Special Skin Treatment’ dijual oleh penjual yang sama.

Krim yang mengandungi steroid untuk rawatan kulit harus digunakan hanya di bawah pengawasan perubatan, kata HSA.

Penggunaan jangka panjang tanpa diselia krim serupa boleh menyebabkan hipersensitiviti, penipisan kulit dan sindrom pengeluaran steroid topikal (gatal-gatal dan kemerahan selepas berhenti secara tiba-tiba penggunaan steroid yang berpanjangan).

Penyerapan dalam badan turut berpotensi menyebabkan kesan buruk yang serius apabila disapu ke kawasan besar kulit atau digunakan semasa tempoh yang berpanjangan.

Kesan buruk ini termasuk tekanan darah tinggi, katarak, gangguan otot dan tulang, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom Cushing (wajah bulat, atau ‘wajah bulan’, serta obesiti di bahagian atas badan dengan anggota badan yang kurus).

Pengguna harus berwaspada terhadap bahaya membeli krim kulit daripada sumber yang meragukan, kurang dikenali atau secara dalam talian.

Dari 2022 hingga Julai 2024, HSA telah mengesan lebih banyak krim yang dipasarkan untuk penyakit kulit (contohnya ruam, ekzema dan psoriasis) yang dicemari steroid dan bahan perubatan lain.

Sebahagian besar krim yang dijual di laman web, platform e-dagang, platform media sosial dan dalam satu kes oleh penjaja di gerai sementara, digunakan untuk kanak-kanak.

Oleh kerana kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada kesan bahan campur palsu seperti steroid, mereka mengalami kesan buruk yang serius akibat penggunaan krim itu.

Mereka yang menggunakan krim serupa dinasihatkan supaya berjumpa doktor secepat mungkin, kata HSA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg