PENGUASA Sains Kesihatan (HSA) sedang menguji alat pengawasan e-dagang untuk melarang penjualan produk kontraban dalam talian.
Dibangunkan oleh Agensi Teknologi dan Sains Home Team (HTX), bot itu menggunakan automasi proses robotik dan kecerdasan buatan untuk meneliti senarai. Barangan kontraban yang ia sasarkan termasuk kosmetik, produk kesihatan dan ubat-ubatan terlarang. Ia juga dapat mengesan kit ujian dan vaksin Covid-19 yang tidak dibenarkan. Dari Januari hingga Mei, HSA mengeluarkan lebih daripada 3,200 senarai produk kesihatan terlarang dari wadah e-dagang tempatan. Tetapi ini dilakukan secara manual oleh pegawai penguatkuasaan, yang harus menyaring setiap senarai dan meneliti maklumat mengenai barang tersebut satu per satu. Dengan bot itu, proses ini dapat dilakukan dalam masa beberapa jam, berbanding beberapa minggu sebelum ini. Penjimatan masa ini bermakna bilangan produk berbahaya menjangkau lebih sedikit bakal pembeli, meningkatkan keselamatan kesihatan awam. Bot itu menganalisis maklumat dari senarai - termasuk gambar, keterangan dan profil - untuk mengenal pasti produk terlarang, dan menandakan produk yang mengandungi bahan terlarang atau berbahaya. Pegawai penguatkuasa kemudian dapat menumpukan perhatian kepada penyemakan barangan yang ditandakan dan mengeluarkannya dengan segera. Bot itu dibangunkan oleh HTX dalam masa tiga bulan dan HSA memulakan percubaannya pada 8 Julai. Ia akan diuji selama sebulan sebelum diperhalusi dan dikerahkan sepenuhnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg