PENDIDIKAN tentang hubungan yang sihat dan berteraskan rasa hormat penting dimulakan sejak kecil lagi, kata ahli panel semasa sidang media bagi membentangkan saranan yang dikemukakan Pasukan Bertindak Keganasan Keluarga kelmarin.
"Mendidik kanak-kanak lelaki pada usia yang lebih muda adalah genting... ia bukan hanya untuk 'hentikan berdiam diri' (breaking the silence), tetapi juga agar bila mereka besar nanti, merekalah yang akan memecahkan kitaran keganasan.
"Mereka akan ada rasa hormat dan akan menghargai pasangan mereka serta anggota keluarga wanita yang lain, " kata Cik Georgette Tan, Presiden United Women Singapore.
Pendidikan dan pendedahan awal merupakan antara saranan yang telah dikemukakan pasukan bertindak tersebut sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesedaran umum terhadap keganasan keluarga.
Buku pendidikan bertajuk 'A Day with Bob' yang dihasilkan bersama oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) dan pusat pakar keganasan keluarga, Pave, akan diedarkan kepada semua murid sekolah rendah.
Usaha sedemikian dianggap penting lebih-lebih lagi kerana statistik menunjukkan keganasan keluarga mempunyai kesan buruk terhadap generasi seterusnya.
Kanak-kanak yang ibu bapa mereka pernah dikenakan perintah perlindungan peribadi (PPO) didapati 8.63 kali lebih berkemungkinan didapati berada di dalam sistem perlindungan kanak-kanak.
Kanak-kanak yang pernah menyaksikan keganasan keluarga juga didapati mempunyai lebih banyak masalah emosi dan tingkah laku, kata pasukan bertindak itu.
Bersetuju, Pengarah Eksekutif Casa Raudha Ltd, Cik Zaharah Ariff, berkata:
"Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak yang menyaksikan keganasan keluarga akan menjadi pelaku keganasan keluarga sendiri atau mereka menjadi mangsanya kerana mereka akan memilih pasangan yang serupa sebab pada mereka itu perkara biasa.
"Bila seorang anak itu melihat ibunya dianiaya, pada mereka, itu sesuatu yang normal, dan kita lihat ramai kanak-kanak yang membesar dalam keadaan sedemikian kurang kemahiran sosial sebab bila mereka tidak mendapatkan sesuatu yang diinginkan, mereka akan bergaduh, gunakan perkataan-perkataan kesat kerana mereka ikut apa yang mereka dengar di rumah."
Cik Zaharah menambah beliau gembira melihat saranan yang diberikan pasukan bertindak untuk meningkatkan kesedaran dan memulakan pendidikan berkenaan isu tersebut awal kerana "kanak-kanak boleh belajar semula dan tahu apa yang salah dan apa yang betul".
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg