Hujan lebih kerap diramalkan bagi separuh kedua Oktober 2023 berbanding separuh pertama bulan ini.
Secara tidak langsung, ia menjadikan suhu lebih dingin berbanding suhu panas yang dialami sejak beberapa minggu sebelum ini.
Demikian dinyatakan Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Menurut MSS, hujan berserta petir dijangkakan bagi kebanyakan hari.
Hujan berserta petir pada tengah hari dijangkakan pada minggu ini dan berlarutan hingga ke petang bagi beberapa hari.
Pada penghujung Oktober, hujan dan petir mungkin berlaku di beberapa bahagian Singapura pada lewat pagi dan sebelah petang.
MSS menjangkakan taburan hujan melebihi purata pada separuh kedua Oktober 2023.
“Oleh kerana hujan dijangkakan pada kebanyakan hari, suhu barangkali adalah lebih rendah berbanding separuh pertama bulan (Oktober).
“Suhu maksimum harian dijangka antara 33 hingga 34 darjah Celsius bagi kebanyakan hari,” tambah MSS.
Keadaan jerebu di Singapura dijangka bertambah baik disebabkan ramalan hujan bagi kawasan selatan Asia Tenggera dan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam menjangkau tahap tidak sihat adalah amat rendah.
Dalam pada itu, MSS menambah keadaan tengkujuh Barat Daya berlaku di Singapura dan kawasan sekitarnya pada separuh pertama Oktober 2023, dengan angin paras rendah bertiup kebanyakannya dari tenggara atau barat daya.
“Separuh pertama Oktober 2023 adalah kering dan panas, kecuali selama beberapa hari apabila hujan turun buat seketika,” jelas MSS.
Pada 7 dan 8 Oktober 2023, asap jerebu akibat kebakaran hutan di tengah dan selatan Sumatera ditiup oleh angin kencang ke Singapura.
Ini mengakibatkan keadaan berjerebu dengan mutu udara merosot kepada tahap tidak sihat di beberapa bahagian pulau.
PSI 24 jam tertinggi iaitu 123 direkodkan di bahagian timur Singapura antara 8 dan 9 malam pada 7 Oktober 2023.
Di samping itu dalam dua minggu pertama Oktober 2023, suhu maksimum meningkat melebihi 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari.
Pada 9 Oktober 2023, suhu melebihi 35 darjah Celsius di beberapa bahagian Singapura, dengan 36.3 darjah Celsius direkodkan di Admiralty.
MSS menyatakan: “Ini adalah suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Singapura pada Oktober, melepasi rekod tertinggi sebelumnya iaitu 35.7 darjah Celsius yang dicatatkan pada 14 Oktober 2001 dan 13 Oktober 2019.”
Kali terakhir PSI mencapai kadar tidak sihat, atau melebihi 100 adalah pada September 2019. Pada September 2015 pula, kadar PSI pernah mencatat tahap paling buruk dengan melebihi 300.
Terdapat lima tahap nilai PSI iaitu baik (0-50); sederhana (51-100); tidak sihat (101-200); sangat tidak sihat (201-300); dan bahaya (lebih 300).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg