HUJAN dijangka berterusan sepanjang dua minggu pertama Ogos ini, kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada Isnin (1 Ogos).
Hujan bertempoh pendek beserta guruh dijangka berlaku bagi kebanyakan hari di beberapa kawasan di Singapura antara waktu pagi dengan awal petang.
Hujan petir lebat yang lebih meluas besar kemungkinan melanda Singapura bagi satu atau dua hari, disebabkan pertemuan angin berskala besar di rantau ini.
Badai Sumatera dari Selat Melaka dijangka menyebabkan hujan petir beserta angin kencang pada waktu fajar dan pagi beberapa hari, tambah MSS.
Badai Sumatera itu merujuk kepada sebuah garisan ribut hujan petir tersusun berasal dari Sumatera dan selalunya bergerak ke arah timur menuju ke Singapura dan daerah sekelilingnya.
"Jumlah hujan bagi dua minggu pertama Ogos tahun ini diramal lebih tinggi dari paras purata bagi kebanyakan kawasan pulau ini," kata MSS.
Suhu cuaca seharian diramal antara 24 darjah celsius dengan 33 darjah celcius pada kebanyakan hari.
"Bagi satu atau dua hari yang hujan, suhu cuaca seharian paling rendah boleh jatuh kepada 23 darjah celcius," kata MSS.
Bagi minggu kedua, suhu cuaca seharian tertinggi boleh mencecah sehingga 34 darjah celcius.
Malam yang bahang dan lembab dijangka berlaku bagi beberapa hari dengan suhu cuaca berada di atas 28 darjah celcius, khususnya bagi kawasan persisiran timur dan selatan Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg