
KESESAKAN jalan raya dijangka di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Pusat Pemeriksaan Tuas pada hujung minggu tiga hari sempena Hari Pekerja, dari 29 April hingga 1 Mei.
Mereka yang merancang untuk melalui pusat pemeriksaan darat dengan menaiki kereta atau bas dinasihatkan supaya mengambil kira faktor masa tambahan untuk lepasi imigresen, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut ICA, trafik dijangka sesak antara 28 April dan 2 Mei.
Ia menambah, serupa dengan hujung minggu panjang bagi cuti Good Friday baru-baru ini, lebih 1.4 juta pelawat melintasi pusat pemeriksaan darat, iaitu purata 350,000 lintasan setiap hari.
Waktu menunggu purata bagi mereka yang menaiki kereta melalui pusat pemeriksaan darat adalah sekitar tiga jam.
Penduduk Singapura dan pelawat asing kali pertama, termasuk rakyat Malaysia yang menaiki bas digalak menggunakan lorong automatik untuk melepasi imigresen, kata ICA.
Pemandu diingatkan supaya tidak memotong barisan kerana berbuat demikian boleh menyebabkan kesesakan teruk dan menjejaskan keselamatan pemandu lain, tambah ICA..
ICA meminta pemandu untuk mematuhi peraturan jalan raya, mengekalkan disiplin lorong dan bekerjasama dengan pegawai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg