MULAI hari ini, mereka yang menggalak atau mengambil bahagian dalam perlumbaan haram akan menghadapi denda lebih tinggi dan tempoh penjara lebih lama.
Penunggang motosikal yang gagal memastikan pembonceng memakai topi keledar yang diluluskan pula akan dihukum, dan mereka yang mengimport atau menjual topi keledar tidak diluluskan akan dikenakan hukuman lebih berat.
Mahkamah juga diberikan lebih banyak ruang untuk tidak membenarkan pemandu daripada memandu jika mereka disabitkan kesalahan dalam kes baran jalanan.
Ini adalah antara pindaan kepada Akta Lalu Lintas Jalan Raya, yang dibentangkan dan diluluskan di Parlimen tahun ini demi mempertingkat keselamatan jalan raya, yang mula berkuat kuasa hari ini, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataannya semalam.
Di bawah pindaan itu, hukuman maksimum bagi kesalahan perlumbaan jalanan dinaikkan agar ia sejajar dengan hukuman bagi pemanduan berbahaya.
Pesalah kali pertama akan menghadapi denda maksimum $5,000 dan hukuman penjara sehingga setahun - lebih tinggi berbanding hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda antara $1,000 dengan $2,000 sebelum ini.
Pesalah berulang pula akan didenda sehingga $10,000 dan dihukum penjara sehingga dua tahun berbanding penjara sehingga setahun dan denda antara $2,000 dengan $3,000 sebelum ini.
Rejim perampasan kenderaan bagi kesalahan perlumbaan haram juga diubah, dengan kenderaan yang terlibat dalam perlumbaan haram tidak lagi akan dirampas secara automatik.
Sebaliknya, ia tidak akan dirampas jika pesalah bukan pemilik kenderaan itu dan telah menggunakannya tanpa keizinan pemilik.
Antara lain, pendaftaran bagi ujian teori dalam talian bagi pengguna basikal yang menggunakan kuasa (PAB), atau basikal elektrik (e-basikal), juga bermula hari ini.
Ujian itu akan menilai kesedaran pengguna tentang peraturan mobiliti aktif, tatakelakuan dan amalan menunggang dengan selamat.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sebelum ini telah mengumumkan bahawa mulai 1 Januari tahun depan, pengguna PAB perlu lulus ujian itu sebelum mereka boleh menggunakan alat tersebut di laluan basikal dan jalan raya.
Sementara itu, pindaan kepada Akta Lalu Lintas Jalan Raya pada 2019 bagi mempertingkat hukuman jenayah dan memperketatkan rejim peraturan untuk mencegah tingkah laku memandu secara tidak bertanggungjawab juga telah dikuatkuasakan semalam.
Antaranya, proses pembatalan dan penggantungan lesen diselaraskan bagi pemandu yang telah mengumpulkan mata demerit melebihi maksimum yang dibenarkan.
Pemandu akan diberikan tempoh masa empat minggu daripada tarikh notis pembatalan atau penggantungan lesen untuk membuat rayuan.
Pembatalan atau penggantungan lesen akan berkuat kuasa empat minggu selepas tarikh notis, tidak kira tarikh rayuannya. Sekiranya rayuan diluluskan, pembatalan atau penggantungan lesen akan ditarik balik.
Pindaan lain termasuk memanjangkan tempoh penggantungan lesen bagi pesalah berulang sehingga lima tahun, naik daripada tiga tahun sebelum ini.
Ini dikenakan ke atas pemandu yang lesennya digantung lima kali atau lebih sebelum ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg