SEORANG pegawai auksiliari Aetos yang sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara 16 setengah tahun dan rotan 18 kali kerana merompak sebuah syarikat pemiutang wang berlesen di Jurong dengan bersenjatakan pistol telah dikurangkan hukuman penjaranya pada Isnin berikutan rayuannya.
Hukuman penjara Mahadi Muhamad Mukhtar, 40 tahun, dikurangkan kepada 14 tahun selepas Mahkamah Rayuan mengambil kira kes terdahulu Dave Teo, seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa yang hilang bersama senapang SAR-21 dan beberapa butir peluru hidup pada 2007.
Mahkamah itu juga setuju bahawa terdapat beberapa "pertindihan" antara dua pertuduhan berbeza yang dihadapi oleh Mahadi - satu tuduhan bagi kesalahan membawa revolver perkhidmatan M85 Taurus, dan satu lagi untuk kesalahan merompak.
Peguam bela, Encik Mark Yeo, telah berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman kepada Mahadi pada 2022 salah kerana menganggap pemilikan pistol itu sebagai faktor yang memburukkan dalam memutuskan hukuman bagi pertuduhan rompakan.
Encik Yeo berhujah bahawa ini menyebabkan Mahadi dihukum dua kali kerana memiliki senjata api itu kerana dia telah dihukum secara berasingan bagi kesalahan membawa revolver yang mengandungi peluru.
Pada 12 April 2021, Mahadi, yang berhutang dengan pemiutang, melaksanakan rancangannya untuk merompak pemiutang wang berlesen untuk menyelesaikan masalah kewangannya.
Dia memilih OT Credit di Jurong Gateway Road kerana ia dikendalikan oleh wanita dan pernah dirompak sebelum ini.
Mahadi meninjau kedai itu untuk memastikan ia dibuka sebelum dia melaporkan diri untuk bekerja dan mengambil revolver dan pelurunya.
Pada sebelah petang, dia masuk ke dalam kedai dan menyerahkan nota kepada pekerja, yang menyatakan bahawa dia mempunyai pistol di dalam poketnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg