Seorang wanita yang menyuruh menantu lelakinya, seorang pegawai polis, menghapuskan rakaman video yang menunjukkan dia dan anak perempuannya mendera pembantu rumah mereka hingga mati, dikenakan hukuman penjara tambahan tiga tahun pada Isnin.
Prema S. Naraynasamy, 64 tahun, mengaku bersalah pada 15 Jun bagi satu pertuduhan menghasut Kevin Chelvam, 44 tahun, supaya menghapuskan bukti-bukti kesalahan yang dilakukan di flat mereka di Bishan itu.
Dengan ini, tempoh hukuman penjara Prema ialah 17 tahun.
Hadir di mahkamah melalui pautan video, Prema, yang memakai pelitup, menundukkan kepala ketika hukuman dibacakan kepadanya.
Dia kini sedang menjalani hukuman penjara 14 tahun setelah mengaku bersalah bagi 47 pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pembantu rumah warga Myanmar, Cik Piang Ngaih Don, 24 tahun, dan satu pertuduhan sengaja cuba menyebabkan kecederaan ke atas mendiang.
Hakim Daerah Utama Jill Tan berkata pada Isnin bahawa memandangkan jenis penderaan yang telah dilakukan Prema terhadap Cik Piang Ngaih Don dan percubaannya untuk menyebabkan bukti hilang, hukuman keseluruhan selama 17 tahun tidak teruk dan sewajarnya mencerminkan kekejaman jenayah Prema.
Mahkamah mendengar sebelum ini bahawa Prema sedar kamera pengawasan (CCTV) di flat itu merakam penderaan tersebut dan memberitahu Chelvam supaya membuka dan mencabut sambungan perakam dari kamera itu dan menyerahkan peranti tersebut kepadanya.
Dia kemudian menyembunyikan alat itu dalam beg menantu perempuannya, Isabella, yang mengunjungi flat itu pada hari sama.
Walaupun Isabella tidak menyedari kepentingan perakam itu, Prema menyuruhnya melakukan sesuatu ke atasnya. Isabella kemudian menyerahkan perakam itu kepada suaminya, yang memberikannya kepada seorang rakan.
Isabella dan suaminya memberi rakaman tersebut kepada polis apabila penyiasat tiba di rumah mereka.
Cik Piang, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun, bekerja di luar Myanmar buat pertama kali dan tidak dibenarkan memiliki telefon bimbit dan hari cuti.
Beliau meninggal dunia akibat kecederaan otak dengan kesan trauma daripada benda tumpul yang teruk pada lehernya pada 26 Julai 2016, selepas 14 bulan didera berulang kali.
Cik Piang tidak diberi makan dan hilang 15 kilogram sepanjang 14 bulan bekerja bersama keluarga itu dan berat badannya hanya 24 kilogram apabila beliau meninggal dunia.
Beliau juga diikat pada jeriji tingkap pada malam pada hari-hari sebelum kematiannya dan diseksa jika beliau cuba menyelongkar tong sampah untuk mencari makan.
Prema menyerang mangsa pada 25 Julai 2016, bersama anak perempuannya, yang dituduh bersamanya, Gaiyathiri Murugayan, 43 tahun.
Gaiyathiri dijatuhi hukuman penjara 30 tahun pada 22 Jun 2021 – hukuman penjara paling lama yang dikenakan dalam kes penderaan pembantu rumah di sini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg